MALAYSIAKINI
Kerajaan Selangor akan memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada
Kelantan berikutan krisis banjir yang melanda negeri itu kata Menteri
Besarnya Mohamed Azmin Ali.
Selain itu, sebanyak RM100,000 pula akan disumbangkan kepada negeri Terengganu, Pahang dan Perak.
Azmin bersama dua exconya Amirudin Shari dan Dr Daroyah Alwi akan ke Kelantan pagi ini untuk menyerahkan sumbangan itu.
Bercakap dalam satu sidang akhbar, Azmin berkata keputusan untuk memberi
sumbangan tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMKN) pagi ini ekoran situasi banjir di Pantai Timur
Semenanjung Malaysia khususnya di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang
dan juga Perak.
Katanya, ia sebagai tanda simpati kerajaan Selangor terhadap negeri-negeri yang dilanda bencana banjir itu.
Kerajaan dan rakyat Negeri Selangor, katanya amat bersimpati dengan
mangsa banjir dan keluarga mereka yang menanggung kesusahan dan
mengalami kerosakan harta benda akibat banjir yang disifatkan paling
buruk dalam tempoh 43 tahun.
"Kami memohon doa ke hadrat Allah SWT agar cuaca bertambah baik dalam
masa terdekat dan semua yang terkesan dengan bencana ini berada dalam
keadaan selamat.
"Kami juga memohon semoga rakyat di Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang
dan Perak bersabar dan tabah menghadapi musibah dan agar keselamatan dan
kesejahteraan rakyat terus dilindungi dan dipelihara Allah SWT,"
tambahnya.
Menurut Azmin lagi, beliau telah berbincang dengan Penasihat Ekonomi
Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi meneliti langkah-langkah
yang perlu diambil dalam membantu negeri-negeri terlibat.
"Saya juga telah menghubungi Datuk Paduka Husam Musa bagi menyampaikan
hasrat kerajaan negeri Selangor untuk bersama–sama kerajaan negeri
Kelantan dalam situasi yang getir pada masa ini," katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan Selangor juga menyediakan peruntukan
RM200,000 bagi misi bantuan kemanusiaan yang akan diselaraskan oleh Dr
Daroyah melalui Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS)
yang akan turun bagi memberi khidmat bantuan dan khidmat kemanusiaan.
Untuk program pasca bencana banjir, katanya, kerajaan Selangor telah
bersetuju untuk memberikan khidmat kerja pembersihan kawasan banjir
dengan penglibatan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.
"Seluruh jentera PBT Negeri Selangor akan diturunkan untuk kerja
pembersihan sebaik sahaja air semakin surut bagi tujuan pembersihan
sampah sarap dan sisa pepejal akibat banjir bagi menjamin kebersihan dan
keselamatan rakyat.
"Kerajaan Selangor juga akan mendapatkan sokongan kewangan daripada
anak-anak syarikat, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri dan
syarikat-syarikat swasta di Selangor untuk membantu menyediakan
peralatan persekolahan termasuk pemberian beg sekolah dan pakaian
seragam untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
Sementara itu, Azmin berkata, MMKN juga mengambil keputusan untuk
membatalkan semua acara hiburan dan program Temasya Selangor 15
menjelang Tahun Baru 2015 sebagai tanda simpati kepada semua rakyat yang
mengalami bencana banjir dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan
Selangor.
"Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam
untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27
dan 28 Disember 2014 di I – City, Shah Alam atas prinsip yang sama.
"Kerajaan Negeri Selangor menggesa agar kerajaan persekutuan meluluskan
geran bantuan bencana alam secepat mungkin bagi membantu
kerajaan-kerajaan negeri mengatasi bencana banjir serta meringankan
beban yang dialami rakyat dalam tempoh yang getir ini.
"Kerajaan Selangor juga telah berbincang dengan JAIS supaya semua masjid
di Negeri Selangor mengadakan solat hajat sejurus solat Jumaat bagi
memohon pertolongan Allah SWT agar kesejahteraan dan keselamatan rakyat
di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terus dilindungi dan
dipelihara," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan