Isnin, 1 Disember 2014

Amanah perjuangan Melayu


DETIK DAILY





UMNO, parti terbesar dalam gabungan parti pemerintah BN mengadakan perhimpunan agungnya minggu ini, sekali lagi membawa perhatian kita kepada isu-isu penting berkait orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Dalam ucapan-ucapan pemimpin dan perbahasan sepanjang perhimpunan ini, retorik-retorik perjuangan bangsa, agama dan negara akan berkumandang, beserta dengan kecaman-kecaman untuk musuh politik.

Setelah puluhan tahun Umno memimpin pemerintahan dan menjadi sandaran dan harapan orang Melayu, banyak yang boleh diperhatikan apa yang telah dicapai dan gagal dilaksanakan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,  Umno kelihatan dengan bersungguh-sungguh mengemukakan kepada orang Melayu tentang pentingnya perjuangan Umno untuk kesejahteraan orang Melayu dan masa depan mereka di Malaysia.

Ini semua kedengaran lebih kuat pada masa Umno berdepan ancaman-ancaman dari sudut persaingan politik dengan partiparti pesaing terutamanya PAS yang juga mewakili orang Melayu dan agama Islam.

Apa yang dikesalkan berhubung retorikretorik Umno ini bukan semata-mata kecaman terhadap PAS tetapi tindakannya dengan mudah menyandarkan masa depan orang Melayu dengan perjuangan Umno, sedangkan pada masa sama semua menyedari politik wang dan kebobrokan yang berleluasa dalam Umno.

Umno dengan rekod pengkhianatan yang panjang kepada orang Melayu menagih simpati dan mengugut orang Melayu agar mengekalkan atau mengembalikan sokongan kepada Umno.

Pada masa sama, budaya seperti politik war lord dalam Umno masih berleluasa dan amat sukar diubah, sehingga ramai ahlinya dan bekas pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad berulang kali merungut tentang masalah ini.

Soalnya, bagaimanakah Umno hendak memenangi sokongan Melayu, dan lebih penting lagi memperjuangkan nasib orang Melayu dalam keadaan perebutan kuasa dalam parti berlangsung dengan tanpa sekatan.

Isu rasuah, tanah rizab Melayu yang terkorban, usaha untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik yang bakal merugikan rakyat negara ini dan ramai orang Melayu dan banyak lagi isu kritikal tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh Umno.

Telah banyak kali disuarakan kepada pemimpinan negara yang ditunjangi Umno tentang masalah yang bakal dihadapi dengan TPPA, masalah dihadapi orang Melayu dalam perniagaan, pertanian dan sebagainya, tetapi menjadi seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Perjuangan Melayu bukan milik Umno semata-mata, malah Umno sendiri telah banyak melakukan pengkhianatan terhadap Melayu.

Tiada ulasan: