MALAYSIAKINI
ULASAN Pengumuman harga baru tanpa
subsidi bagi RON95, RON97 dan diesel bermula 1 Disember 2014
membayangkan harga petrol dan diesel akan terus dimanipulasi oleh BN dan
menjadi beban utama rakyat di masa akan datang.
Walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan alasan harga yang
dibayar oleh rakyat sekarang adalah mengikut harga pasaran, perbezaan di
antara harga pasaran dan harga yang ditetapkan BN adalah terlalu
ketara.
Harga rujukan minyak mentah Brent di hujung minggu lepas mencecah USD68
setong, iaitu penurunan sebanyak 35.2 peratus daripada harga sebelum
kejatuhan pasaran minyak mentah iaitu sekitar USD105 setong.
Harga purata minyak mentah Brent sepanjang bulan November 2014 ialah
sekitar USD76 setong, iaitu penurunan sebanyak 27.6 peratus daripada
harga sebelum kejatuhan pasaran minyak.
Harga rujukan minyak mentah Brent ini menentukan harga rujukan produk
petroleum RON95, RON97 dan diesel yang didagangkan di Singapura dan
digunakan sebagai asas menentukan harga petrol dan diesel di negara ini.
Oleh itu, jika harga rujukan minyak mentah Brent jatuh antara 27 hingga
35 peratus, sudah tentu penurunan RON95, RON97 dan diesel juga adalah
dalam lingkungan yang tidak banyak berbeza dari itu.
Malangnya, pengumuman BN menetapkan harga RON95 hanya turun 1.7 peratus,
RON97 hanya turun 3.5 peratus malah diesel pula naik 1 peratus.
Pemantau PKR
Rakyat tertanya-tanya kenapa ada jurang yang begitu besar di antara
harga rujukan di pasaran dunia dan harga yang ditetapkan BN di Malaysia
walaupun kononnya harga itu ditetapkan mengikut harga pasaran dunia.
Keadaan ini berpunca dari kaedah penentuan harga yang tidak telus dan
memasukkan formula yang menjamin keuntungan syarikat minyak seperti yang
saya nyatakan sebelum ini.
Bagi setiap liter RON95 contohnya, BN menjamin keuntungan dan kos dibayar-balik (cost reimbursement) kepada syarikat minyak sebanyak 30 sen.
Oleh yang demikian, PKR mendesak supaya kerajaan persekutuan menyiarkan
setiap minggu secara terperinci harga rujukan RON95, RON97 dan diesel di
pasaran dunia yang menggunakan harga terbitan MOPS (Means of Platts
Singapore) serta kos-kos lain yang dimasukkan dalam perkiraan menentukan
harga pasaran Malaysia bagi RON95, RON97 dan diesel.
Hanya dengan ketelusan sebegini BN boleh mengenepikan pandangan serong
rakyat bahawa ia mengambil keuntungan dengan menetapkan harga minyak
yang lebih tinggi kepada rakyat walaupun harga pasaran dunia jatuh
menjunam.
Pada masa yang sama, PKR juga telah menubuhkan pasukan sendiri untuk
memantau harga pasaran RON95, RON97 dan diesel untuk memastikan harga
pasaran di Malaysia adalah selari dengan harga pasaran dunia.
PKR akan mendedahkan secara terperinci harga pasaran rujukan MOPS serta
kos-kos lain yang dijamin oleh kerajaan persekutuan pada setiap minggu
untuk membolehkan rakyat mendapatkan harga minyak terbaik.
Sebelum demo 31 Dis
Perbezaan harga yang ketara ini (iaitu penurunan 2 peratus di Malaysia
berbanding kejatuhan 28 hingga 35 peratus) juga menimbulkan tanda tanya
sama ada BN akan mengenakan cukai petrol secara senyap-senyap seperti
yang berlaku sepanjang bulan November 2014.
Kenyataan Datuk Ahmad Maslan, timbalan menteri kewangan pada 31 Oktober 2014 yang disiarkan Bernama secara
jelas menyebut bahawa jika harga minyak mentah dunia jatuh ke harga
bawah USD75 setong, harga petrol RON95 sepatutnya menjadi sekitar RM1.72
seliter.
Menurut beliau, pada ketika itu kerajaan persekutuan boleh membuat
keputusan sama ada mengenakan cukai petrol untuk mengekalkan harga yang
lebih tinggi.
Pada ketika ini, harga minyak mentah dunia telah pun jatuh ke paras USD68 setong.
Malah, harga rujukan purata minyak mentah bagi November 2014 dianggarkan sekitar USD76 setong.
Mengikut kenyataan Ahmad sendiri sebulan yang lepas, harga RON95 yang
lebih selari dengan harga pasaran sepatutnya adalah RM1.72 seliter,
bukannya RM2.26 seperti yang diumumkan semalam.
Oleh yang demikian, saya akan terus berkempen supaya harga minyak diturunkan melalui kempen #turunhargaminyak.
Sementara menunggu demonstrasi yang telah diumumkan pada 31 Disember
2014 ini, PKR akan membantu rakyat dengan mengumumkan setiap minggu
harga pasaran RON95, RON97 dan diesel mengikut harga pasaran
antarabangsa untuk mengelakkan BN mengambil kesempatan mencukai rakyat
melalui cukai petrol secara senyap-senyap seperti yang berlaku sejak
sebulan lalu.
(*) RAFIZI RAMLI naib presiden, setiausaha agung PKR dan anggota Parlimen Pandan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan