PULAU PINANG: Dua penganjur pesta sukan bogel di Pantai Teluk Kampi,
Taman Negara Pulau Pinang, Teluk Bahang di sini pada penghujung Mei lalu
dan tiga lagi rakan mereka ditahan reman selama tiga hari sehingga
Selasa ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu, kedua-dua penganjur itu, Albert Yam, 40-an, yang merupakan
warga Singapura dan seorang wanita tempatan, Chew Tok Hwa, 57, serta
tiga lagi warga tempatan termasuk seorang wanita menyerah diri di Ibu
Pejabat Polis (IPD) Barat Daya di sini bermula jam 10.30 pagi hingga 6
petang semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Lai Fah Hin berkata, kesemua
mereka yang berusia antara 24 dan 57 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret
Georgetown di sini pada pukul 11 pagi untuk mendapatkan perintah
tahanan reman.
"Kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perkataan atau
isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang dan jika sabit kesalahan
boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya
sekali," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, seorang lagi peserta wanita pesta sukan bogel ditahan
kira-kira jam 5.30 petang ini. Wanita itu yang dikenali sebagai Janice
ditahan ketika menyerah diri di IPD Barat Daya.
Dengan penahanan terbaharu itu, sebanyak lapan individu yang dipercayai
terlibat dalam pesta sukan bogel tersebut berjaya ditahan setakat ini
manakala tujuh lagi masih diburu.
Dalam perkembangan berkaitan, Albert dilaporkan menulis surat memohon
maaf kepada kerajaan negeri kerana menganjurkan pesta tersebut yang
menimbulkan kontroversi di negara ini.
Menerusi surat itu yang diemelkan kepada akhbar Cina, Albert turut berjanji tidak akan mengulangi penganjuran program serupa.
"Kami sangat menghormati undang-undang Malaysia," katanya di dalam
surat itu yang turut ditandatangani peserta-peserta pesta sukan bogel
tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan