Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin berkata krisis politik di Selangor perlu 'ditamatkan' segera
melalui proses undi tidak percaya terhadap menteri besar pada
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
"Pada pandangan saya sekiranya mana-mana negeri sekalipun yang berlaku
suasana begini maka yang paling murni sekali diadakan sidang khas DUN
dan buat undi sama ada nak sokong ataupun tidak menyokong.
"...untuk menguji bahawa ada kehilangan majoriti yang menyokong ataupun yang tidak menyokong," katanya kepada Antarapos.
Justeru beliau menambah satu sidang khas DUN Selangor perlu dipanggil
bagi membolehkan usul undi tidak percaya terhadap penyandang jawatan Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim dilakukan.
"Jadi maknanya balik kepada perlembagaan negeri itu supaya diadakan undi percaya atau undi tidak percaya dalam DUN.
"Kalau boleh buat macam itu eloklah," katanya.
Perkembangan mutakhir krisis itu menyaksikan Presiden PKR Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail mendapat sokongan penuh 30 ADUN Selangor sebagai
calon menteri besar sekali gus menjadikan ia sebagai majoriti undi
menentang kedudukan Abdul Khalid.
Menurut Wan Azizah dalam sidang media semalam, majoriti ADUN yang
terdiri dari PKR, DAP dan PAS menyatakan sokongan mereka terhadapnya
kerana telah hilang keyakinan terhadap pentadbiran yang dikemudi Abdul
Khalid.
Namun respons balas Abdul Khalid mengatakan ia perlu diterjemahkan
melalui proses undi tidak percaya di DUN Selangor, sebagaimana yang
termaktub mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Kedudukan terkini DUN Selangor yang memiliki 56 kerusi ialah PAS dan
DAP masing-masing memiliki 15 kerusi, PKR (13), BN (12) dan Bebas satu
kerusi.
Undi tak percaya jalan terbaik bukan bubar DUN
Jelas Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, krisis
pertukaran Menteri Besar Selangor itu tidak perlu dibawa sehingga
pembubaran DUN bagi memberi laluan pilihan raya negeri diadakan semula.
"Tengok siapa yang nak mendesak bubar DUN, kalau yang mendesak adalah
pihak pembangkang maka itu kemungkinan salah satu cara mereka nak ambil
alih kerajaan negeri.
"(Kalau) Umno yang desak maka itulah kaedah untuk mereka mengambil alih balik kuasa memerintah.
"Kita tahu bila ada pilihan raya semula maka macam-macam perkara tidak sihat berlaku," katanya.
Tegas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat ini, krisis politik di Selangor
perlu diselesaikan segera menerusi usul undi tidak percaya pada
persidangan DUN.
"Ada cara yang lebih mudah, cepat dan tak perlu belanja besar iaitu buat undi tidak percaya dalam DUN.
"Sebab itu ialah satu peruntukan dalam undang-undang," katanya.
Untuk rekod, Abdul Khalid dipecat daripada parti pada 9 Ogos kerana
mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang mencalonkan Wan
Azizah sebagai calon Menteri Besar yang baharu.
Abdul Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sejak 13 Mac 2008.
Perkembangan ini menjadikan Selangor, negeri kedua selepas Perak yang
mengalami pergolakan politik memuncak pada 2009, sehingga memaksa campur
tangan Sultan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan