MALAYSIAKINI
Kepulangan yang telah lama dinantikan. Sebaik sahaja dua pegawai
Kedutaan Malaysia dan wakil Malaysia Airlines (MAS) membuat proses
pemeriksaan akhir, 20 jenazah mangsa nahas MH17 akhirnya diterbangkan
pulang ke tanah air pada 3.40 petang Khamis (9.40 malam waktu Malaysia).
Mereka sepatutnya pulang pada 17 Julai lepas dan tiba pada 18 Julai ke
Malaysia, namun tiada siapa menyangka pesawat MH17 itu akan ditembak
jatuh.
Penerbangan
membawa 298 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari
Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17
Julai.
Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada
warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium,
Filipina, Kanada dan New Zealand.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, petugas media Malaysia dan
tempatan tiba di sebuah bangunan untuk dibawa menaiki sebuah bas ke
terminal kargo yang menempatkan pesawat khas membawa balik 20 jenazah.
Petugas media tiba kira-kira pukul 2 petang dan dibawa menghampiri pesawat khas MAS Boeing 747 itu sebelum pintu pesawat dibuka.
Kelihatan beberapa keranda telah disusun dan difahamkan kesemua 20
jenazah dalam 17 keranda dan tiga bekas abu itu telah mula diangkut satu
per satu sejak awal pagi Khamis.
Proses pemeriksaan akhir jenazah bermula sejurus selepas 2 petang
dilakukan Naib Presiden Operasi MAS Datuk Baharom Mohd Yatim, Setiausaha
Kedua Pejabat Kedutaan Malaysia di Belanda, Halmah Hassan dan Kaunselor
Kedutaan Malaysia di Finland, Devrin Jeck untuk tujuan formaliti
proses.
Media Malaysia dan tempatan tidak dibenarkan mendekati pintu masuk
pesawat khas itu dan hanya dapat melihat dari jarak 50 meter sahaja.
Kelihatan keranda yang dibalut dengan Jalur Gemilang itu disusun satu
per satu, tidak bertindih dalam tiga barisan dengan sedikit jarak antara
antara satu sama lain.
Cuaca sejuk mencecah 16 darjah Celcius dengan angin kuat tidak
menghalang petugas media merakamkan detik bersejarah itu walaupun cuma
dibenarkan berada di kawasan itu kira-kira 10 minit sahaja.
Terdapat kira-kira 20 petugas keselamatan yang dibantu pegawai lapangan
terbang yang sangat mesra ketika proses rakaman pemeriksaan akhir
pesawat itu dilakukan.
Sebaik sahaja selesai pemeriksaan, kelihatan wakil MAS dan pegawai
kedutaan diserahkan beberapa kertas untuk tujuan formaliti proses
sebelum mereka beredar dan keluar dari pesawat itu.
Tidak lama selepas itu, kumpulan anak kapal pesawat itu dilihat tiba dengan sebuah van sebelum menaiki pesawat itu.
Petugas media kemudian diarah meninggalkan kawasan itu memandangkan proses persediaan teknikal pelepasan pesawat akan bermula.
Pesawat itu dikendalikan Kapten Misman Leham bersama dua pembantu
juruterbang iaitu Kapten Bakri Othman dan Kapten Zaim Khalid selain
pegawai penerbangan Yap Yoon Kong.
Kira-kira pukul 3.40 petang Khamis (9.40 malam di Malaysia), pesawat
akhirnya berlepas meninggalkan lapangan terbang yang dipenuhi ratusan
pesawat antarabangsa itu ke Malaysia.
Seorang wakil MAS yang enggan dikenali memberitahu pesawat khas itu
tidak akan menggunakan laluan seperti pesawat MH17 sebelum ini dan
dijangka akan menggunakan laluan lain namun enggan mendedahkannya demi
tujuan keselamatan.
Perjalanan terus tanpa henti itu akan mengambil masa kira-kira 12 jam
menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan