Datuk Seri Anwar Ibrahim Datuk Seri Anwar Ibrahim


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan dua hari mulai 28 Oktober untuk mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan enam tahun lepas.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan tarikh itu di dalam kamar pada sebutan kes itu hari ini bagi pengurusan kes selepas bertemu peguam Anwar Ramkarpal Singh, N Surendran dan Latheefa Koya serta Timbalan Pendakwa Raya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Ramkarpal Singh memberitahu pemberita pada hari yang sama mahkamah juga akan mendengar rayuan balas pendakwaan untuk meningkatkan hukuman penjara terhadap Anwar.   

Beliau berkata mahkamah menetapkan 14 Okt untuk mendengar permohonan kali ketiga pihak pembelaan untuk menggugurkan Muhammad Shafee, seorang peguam kanan daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan itu.

Sebelum ini mahkamah menetapkan 8 dan 9 Sept untuk mendengar rayuan Anwar.   

Surendran pada 8 Ogos lepas memberitahu media bahawa peguam Anwar membantah penetapan tarikh itu kerana peguam utama Datuk Sulaiman Abdullah tidak dapat hadir ke mahkamah pada tarikh berkenaan.

Surendran berkata Sulaiman yang mengalami masalah jantung dan menjalani pembedahan lutut, kini sedang cuti sakit hingga 13 Oktober depan.

Sulaiman, seorang peguam kanan, akan mengetuai pihak pembelaan selepas kematian peguam Karpal Singh dalam nahas jalan raya pada 17 April lepas.   

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mensabitkan Anwar bagi pertuduhan meliwat dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Anwar bersalah terhadap pertuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan 2012 yang melepaskan Anwar daripada pertuduhan itu.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. - Bernama