Ahad, 3 Ogos 2014

Perintah berkurung dilanjut, kerajaan gagal kawal keselamatan Sabah

Oleh: Fiza Halim


SABAH : Isu keselamatan di perairan Sabah masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan sehingga terpaksa melanjutkan tempoh bagi perintah berkurung di negeri itu, kata ADUN Inanam, Dr Roland Chia.

roland_chiaKatanya, kegagalan memberi penjelasan kepada rakyat terhadap tahap keselamatan di Sabah  memberi gambaran kerajaan gagal  menangani isu berkenaan.

“Sabah dah 51 tahun merdeka melalui Malaysia, kenapa perintah berkurung terpaksa dilanjutkan tempohnya. Kerajaan nampaknya tak dapat selesaikan masalah ini, dan perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa mereka berbuat sedemikian,” jelasnya ketika dihubungi.

Pada 25 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan tempoh perintah berkurung di perairan Sabah akan dilanjut bagi terus menjamin keselamatan penduduk selain mengelak berlaku pencerobohan.

Keputusan itu dibuat ekoran beberapa kes pencerobohan dan penculikan di kawasan perairan negeri itu yang dilihat semakin membimbangkan.

Terbaru, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, maut ditembak manakala Konstabel Zakiah Aleip, 26, diculik ketika menjalankan tugas rondaan di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai lalu.

Dr Roland Chia turut mempersoalkan adakah tempoh lanjutan berkenaan mempunyai kaitan dengan kelewatan pendedahan laporan  Suruhanjaya Diraja mengenai pendatang tanpa izin ke negeri itu, yang mana laporan tersebut sudah dihantar kepada Yang Dipertuan Agung sejak 22 Mei lalu.

“Kita mahu kerajaan jelaskan perkara sebenar, adakah ia ada kaitan dengan laporan pendatang tanpa izin ke Sabah oleh Suruhanjaya Diraja itu, kita tak mahu perkara ini terus berlarutan tanpa penyelesaian yang muktamad,” ujarnya.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus membuka kaunter pertanyaan dan talian Hotline supaya rakyat mendapat maklumbalas terkini mengenai situasi sebenar berlaku di perairan tersebut.
“Buka talian supaya rakyat dapat maklumat semasa dan tahu kenapa perlu perintah berkurung.

Kerajaan juga perlu tahu bahawa aset pertahanan adalah daripada wang cukai rakyat dan menjadi hak mereka mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Tiada ulasan: