Isnin, 4 Ogos 2014

PERDASAMA sokong usaha boikot produk Israel

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Atas semangat kemanusiaan, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) hari ini menyatakan sokongan memboikot kesemua produk keluaran Israel dan syarikat-syarikat penyokong kekejaman Yahudi.
 
Tindakan itu diambil selari dengan penderitaan rakyat Gaza yang terus ditindas dan dibunuh dengan kejam semenjak awal Julai lalu.
 
"Kekejaman yang dilakukan oleh Zionis ini jelas mendapat sokongan kuat daripada sekutu Yahudi di seluruh dunia yang mempertahankan tindakan rejim Zionis dan turut membantu melalui sistem pertahanan di Israel.
 
"Kita mungkin tidak dapat melaksanakan perang darah terhadap Israel namun saya yakin perang menerusi ekonomi dengan usaha memboikot melalui bentuk urusniaga mampu memberi kesan terhadap ekonomi bukan sahaja ekonomi negara Israel malah kroni sekutunya.
 
"Ini kerana dengan pembelian dan penggunaan perkhidmatan mereka, sedikit sebanyak menyokong dana dalam memusnahkan mereka yang tidak berdosa seperti anak-anak kecil dan warga tua di Palestin," demikian kenyataan Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir.
 
Bukan sahaja makanan dan minuman, PERDASAMA turut menyeru rakyat Malaysia memboikot kesemua barangan perubatan, kosmetik, penerbitan, tekstil dan sebarang perkhidmatan yang dikeluarkan dari negara berkenaan kerana ia menjadi sumber terhadap kepentingan Yahudi.
 
"Kemusnahan yang dilakukan oleh tentera Zionis membuktikan peperangan berunsur agama ini secara tidak langsung mempengaruhi sifat membenci antara penganut agama. Sampai bila Islam harus di hina dan di keji?," ujarnya lagi.
 
Israel hari ini mengumumkan akan menghentikan serangan pada kebanyakan tempat di Semenanjung Gaza bagi memberi laluan kepada bantuan kemanusiaan dan membenarkan ratusan rakyat Palestin yang menghadapi perang empat minggu itu kembali ke rumah masing-masing.
 
Pengumuman yang dibuat pertama kali kepada media Palestin itu disambut meragukan oleh Hamas kerana dibuat selepas bantahan keras Washington terhadap serangan Israel di tempat perlindungan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang mengorbankan 10 nyawa.
 
Menurutnya lagi, timur Rafah kini satu-satunya kawasan bandar yang masih kekal dengan kehadiran tentera dan kereta kebal, yang ditarik balik atau dipindahkan ke sempadan Gaza pada hujung minggu.
 
Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, mereka tidak percaya dengan pengisytiharan sebelah pihak itu dan mendakwa ia hanya bertujuan mengalihkan pandangan daripada pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan.
 
Israel melancarkan serangan bermula 8 Julai. Ia disasarkan daripada udara, laut dan serangan darat hingga ke bandar-bandar yang padat penduduk.
 
Pihak berkuasa Gaza berkata, sehingga kini, 1,788 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awan, terbunuh dan kira-kira 3,000 rumah mereka hancur.

Tiada ulasan: