Roketkini.com
KUALA LUMPUR – Sekiranya pilihanraya mengejut
diadakan di Selangor, Pakatan Rakyat dikhuatiri tewas, namun PAS kalah
teruk, tidak akan mendapat sokongan dan akhirnya lenyap dari peta
politik Selangor.
Demikian bacaan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dalam
analisanya terhadap permasalahan yang sedang melanda pentadbiran negeri
itu.
Senario itu digambarkan seandainya kemelut jawatan Menteri
Besar Selangor tidak mencapai penyelesaian serta kemungkinan berlakunya
pilihanraya negeri dengan jangkaan kemerosotan sokongan terhadap Pakatan
Rakyat.
“Jika DAP dan PKR mahu menggantikan Tan Sri Khalid,
manakala PAS mahu mengekalkan beliau dengan sokongan UMNO, Dewan Negeri
akan terbelah dua tanpa majoriti jelas,” katanya dalam kenyataan awal
pagi tadi.
“Dalam keadaan sedemikian, Tan Sri Khalid mungkin akan
meminta supaya pilihanraya diadakan di Selangor,” ujar Ahli Parlimen
Petaling Jaya Utara itu.
Jika pilihanraya mengejut diadakan, parti-parti komponen
Pakatan Rakyat dijangka akan mengalami kekalahan; namun parti yang
paling teruk terjejas ialah PAS.
Menurut beliau sekiranya PKR dan DAP mengalami kemerosotan
sokongan 3% undi Melayu dan 10% undi bukan Melayu, kedua-duanya dijangka
kehilangan kerusi di Batu Tiga, Ijok, Kota Anggerik, Taman Medan dan
Pelabuhan Klang di pihak PKR; manakala Kuala Kubu Baru dan Sungai Pelek
bagi DAP.
Kerusi Pelabuhan Klang adalah kerusi yang disandang Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam senario paling optimistik tanpa kemerosotan undi
Melayu untuk PAS dan 15% penurunan sokongan bukan Melayu, parti tersebut
dijangka kehilangan 7 kerusi iaitu Sabak, Gombak Setia, Dusun Tua,
Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjong Sepat.
“Sekiranya sokongan bukan Melayu merosot sehingga 25%
akibat kontroversi PAS, parti tersebut akan turut kehilangan Taman
Templer, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Seri Serdang dan Paya Jaras,” jelas
Tony sambil menambah bahawa PAS hanya akan berjaya mengekalkan tiga
kerusi.
Malah katanya lagi, tiga kerusi ini masih tidak selamat
walaupun undi Melayu merosot sekadar 5% manakala undi bukan Melayu
merudum sehingga 30%, PAS akan pastinya ‘bungkus’.
Tony turut menegaskan bahawa sekiranya pilihanraya mengejut
diadakan, Pakatan Rakyat pastinya tidak akan mampu mengekalkan
kedudukan mentadbir negeri, manakala yang akan menang besar pastilah
Umno.
“Kedegilan PAS menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim akan
mengundang pilihanraya mengejut yang akan menyebabkan Pas kalah teruk
serta mengembalikan Selangor kepada Umno,” tegasnya lagi.
Setiausaha Publisiti DAP itu menambah bahawa Pas mestilah
bersama-sama semangat Pakatan demi menunaikan janjinya kepada rakyat
Selangor. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan