SHAH ALAM: Meskipun kerjasama di antara PAS-PKR-DAP digugat dengan isu
jawatan Menteri Besar Selangor, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr
Mujahid Yusof Rawa berharap Pakatan Rakyat (Pakatan) masih terus utuh
dan tidak menunjukkan tanda-tanda perpecahan.
Memetik ulasannya, Mujahid menegaskan politik Malaysia selama ini
terhindar daripada satu peralihan paradigma politik yang besar,
sehinggalah apa yang terjadi kepada Pakatan pada hari ini.
"Tembok perkauman berjaya diruntuhkan dengan semua kaum melihat
kepentingan negara dan masa depannya lebih utama dari politik rasuah dan
rasis yang menjadi barah pada negara.
"Pakatan Rakyat telah berjaya melahirkan generasi pemimpin yang membuka
minda baru kepada makna berpolitik dan rasional berhujah atas advokasi
dasar dan bukan sentimen.
"Pakatan Rakyat telah menyegarkan proses kematangan demokrasi dan
memperjuangkan pilihan raya bersih serta membawa wahana media alternatif
kepada satu tahap membungkah apa yang selama ini dianggap taboo," kata
Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Lebih lanjut Mujahid mempertahankan kerjasama ketiga-tiga parti itu
adalah penyaring kepada ahli-ahli politiknya yang sentiasa diuji dengan
arus perubahan semasa.
"Justeru itu, saya ingin menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wadah
terbaik setakat ini untuk meneruskan proses kematangan politik yang amat
diperlukan oleh rakyat Malaysia demi perubahan kepada politik baru.
"Saya mengakui Pakatan Rakyat mempunyai sedikit masalah kerana ia
membawa cita-cita besar ini yang kadangkala ia tidak difahami oleh
pemimpinnya sendiri.
"Tetapi saya tidak dapat memikirkan apa akan terjadi kepada aspirasi
politik baru jika Pakatan Rakyat berpecah dan terus tiada di persada
politik tanah air," demikian menurutnya.
Umum kini mengetahui Pakatan Rakyat berdepan dengan pelbagai kemelut,
antaranya isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim dengan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail.
Hasrat “Langkah Kajang” yang dilihat gagal menjatuhkan Khalid sebelum
ini, kembali berlaku dalam PKR terutama selepas beliau gagal
mempertahankan kerusinya sebagai Ketua Cabang PKR Kuala Selangor pada
pemilihan parti itu baru-baru ini.
Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat
memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 di negeri itu.
PKR pada 22 Julai lalu mengumumkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, menggantikan
Khalid.
Beberapa hari selepas itu, PKR menyerahkan pencalonan Wan Azizah secara rasmi di Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
DAP dan PAS dilaporkan akan bermesyuarat dalam masa terdekat sama ada untuk menerima pencalonan Wan Azizah, atau sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan