Isnin, 4 Ogos 2014

MH17: Pasukan siasatan khas Malaysia dijangka masuk lokasi tragedi esok

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Petugas Pasukan Siasatan Khas Malaysia dijangka memasuki lokasi nahas tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Donetsk, timur Ukraine esok untuk memulakan tugas siasatan.
 
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, jika keadaan keselamatan memberangsangkan, pasukan itu akan masuk untuk membuat penggeledahan di kawasan nahas pesawat bersama-sama pasukan Belanda dan Australia.
 
"Sebuah 'Combined Task Force' (Gabungan Pasukan Petugas) di Karkiv telah memutuskan, pasukan Malaysia seramai 21 orang akan digerakkan ke FOB (Forward Operation Base) (Pangkalan Operasi Hadapan) di Solidar, kira-kira 4 jam perjalanan dari Karkiv, pada 2 petang hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Katanya, kawasan nahas pesawat adalah satu jam perjalanan dari FOB.
 
Tambahnya Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan keselamatan antarabangsa dalam misi siasatan nahas itu.
 
Pasukan Siasatan Khas MH17 Malaysia terdiri daripada pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai perubatan.
 
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh di Donetsk pada 17 Julai.
 

Tiada ulasan: