MALAYSIAKINI
Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mahu satu agensi khas
ditubuhkan bagi mengurus harta wakaf di Pulau Pinang secara optimum
untuk manfaat umat Islam di negeri ini.
Presidennya Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata cadangan itu dibuat
berikutan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dilihat tidak efisien
dalam mengurus aset itu terutama melibatkan tanah wakaf.
"Pemenang ada buat permohonan untuk membangunkan sebuah pangsapuri dan
dewan orang ramai di tanah wakaf Wan Chik Ariffin di sini sejak dua
tahun lepas tetapi sampai sekarang MAIPP belum memberi persetujuan
sedangkan MAIPP adalah pemegang amanah bukannya pemilik mutlak harta
wakaf.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membahaskan usul itu
dalam mesyuarat agung tahunan ke-85 Pemenang di George Town hari ini.
Katanya dengan pembinaan pangsapuri itu, ia boleh dibeli atau disewakan
dengan harga berpatutan kepada orang Melayu selain dapat menjana ekonomi
setempat.
Mohd Yussof berkata Pemenang telah menyediakan pelan lengkap bangunan
yang dijangka mengandungi 74 unit rumah lengkap dengan dewan serta
masjid dan menegaskan pihaknya tidak mempunyai masalah kewangan untuk
merealisasikan perkara itu.
"Kami juga telah mendapatkan persetujuan waris Wan Chik Ariffin untuk
menstrukturkan semula kegunaan tanah itu supaya lebih ramai lagi orang
Melayu dapat merasai faedah daripada program pembangunan yang
dilaksanakan," katanya.
Mohd Yussof turut mencadangkan agensi khas itu diterajui dan dianggotai
golongan profesional berasal dari Pulau Pinang yang lebih memahami
keperluan dan aspirasi anak negeri ini.
Katanya, Pemenang akan menghantar memorandum berkenaan perkara itu
kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, selaku
ketua agama di negeri ini, dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan
perkenan baginda.
Beliau berkata Pemenang telah mengenal pasti 11.56 hektar tanah wakaf di
sekitar kawasan di sebelah Pulau yang berpotensi untuk dibangunkan.
Katanya beliau sedih apabila mendapati kebanyakannya menjadi
perkampungan tidak teratur serta terhimpit di tengah kepesatan bandar.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan