MALAYSIAKINI
DAP dan MCA membantah cadangan Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mengkaji cadangan
menutup Facebook.
Strategis Media Sosial DAP, Yeo Bee Yin (bawah) memberi amaran,
cadangan itu akan menjatuhkan lagi ranking Malaysia dari Indeks
Kebebasan Media yang kini sudah pun begitu teruk.
"Malaysia
jatuh 23 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia (PFI) dari
tangga 122 ke 145 daripada 179 negara, kedudukan paling teruk kita
setakat ini, lebih teruk daripada Zimbabwe, Kemboja dan Kyrgyzstan.
"Jika Facebook diharamkan di Malaysia, kita akan menyertai negara
seperti Korea Utara, Cuba, Iran dan Cina sebagai 'negara yang
mengharamkan Facebook', satu jalan yang tidak akan dibenarkan oleh
rakyat Malaysia yang menghargai kebebasan bersuara," kata beliau dalam
kenyataan hari ini.
Yeo yang juga ADUN Damansara Utama berkata terdapat lebih jurang 13 juta
pengguna Facebook di Malaysia dan mengingatkan Putrajaya betapa jaminan
Koridor Raya Multimedia dulu untuk tidak menapis Internet.
Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek berkata kerajaan bersedia mengkaji kewajaran menutup Facebook,
termasuk mendapatkan reaksi orang ramai, ekoran pelbagai penyalahgunaan.
MCA: Dengar kata pengguna
Sementara itu, Pengerusi Biro Guaman Pemuda MCA Eric Choo bimbang dengan
cadangan Ahmad Shabery itu dan memberi amaran kebebasan bersuara di
negara ini akan terjejas.
"Daripada menghalang akses ke laman itu, pemimpin, terutamanya
menteri-menteri kerajaan persekutuan perlu mengambil tahu, mendengar dan
bertemu pengguna sosial media," kata beliau dalam satu kenyataan hari
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan