Ahad, 3 Ogos 2014

LUAS: Bekalan air mentah di S'gor di tahap terkawal

MALAYSIAKINI

 

Catuan air di Selangor tidak perlu dilakukan pada masa ini berikutan bekalan air mentah masih terkawal, kata Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Md Khairi Selamat. 

Beliau berkata ketika ini jumlah pelepasan air secara optimum dari empangan Sungai Selangor dan empangan Sungai Tinggi, masing-masing berjumlah 700 dan 500 juta liter sehari (JLH), manakala kadar pengeluaran kolam alternatif sebanyak 500 JLH.
  
"Selebihnya, sumber air adalah dari aliran sungai termasuk aliran permukaan hasil aktiviti pembenihan awan oleh LUAS bersama Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Meteorologi dan syarikat AF Jet Sdn Bhd yang meliputi seluruh Selangor," katanya dalam satu kenyataan semalam.

LUAS menjangkakan pengeluaran sumber air alternatif dari kolam akan dipertingkat kepada 800 JLH pada minggu hadapan dan dapat mengurangkan pelepasan air dari kedua-dua empangan itu, katanya.
  
Md Khairi berkata kuantiti air kolam alternatif yang telah dikenal pasti mampu membekalkan untuk tempoh lima bulan sehingga Oktober apabila perubahan Monsun Timur Laut yang membawa hujan akan berlaku. -  Bernama

Tiada ulasan: