Jumaat, 15 Ogos 2014

Langgar 10 Kenderaan Larikan Diri dari Polis

RAKYAT NEWS


alt
 


GEORGETOWN  - Sepuluh kenderaan dilanggar sebelum kereta dinaiki dua lelaki yang cuba melarikan diri daripada polis kehabisan minyak dan tersadai di Jalan Solok Pinang, Sungai Pinang di sini semalam.

Seorang daripada lelaki itu melarikan diri manakala pemandu kereta berkenaan bertindak mengurung diri dalam kereta yang dikunci menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin tingkap untuk mengeluarkan lelaki itu dan menahannya.

"Tiada kecederaan serius dilaporkan," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan Komuniti di sini, malam tadi.

Beliau berkata kejadian itu bermula apabila anggota polis yang membuat rondaan terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang berhenti di Paya Terubong dalam keadaan mencurigakan pada 6 petang.

"Semasa anggota kami memperkenalkan diri sebagai polis dan mahu membuat pemeriksaan, dua lelaki terbabit terus masuk kereta dan memecut kenderaan itu," katanya.

Beliau berkata polis mengejar kereta terbabit sejauh lima kilometer sebelum kereta itu kehabisan minyak.

Polis masih menjalankan siasatan motif mereka bertindak demikian dan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah. Siasatan awal mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran yang sah, katanya.

Tiada ulasan: