MALAYSIAKINI
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mendapatkan
laporan lengkap mengenai penyakit karah padi (perang) yang melanda sawah
padi di seluruh negara baru-baru ini.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (bawah) berkata ia
adalah langkah dan pendekatan terbaik untuk membantu petani terlibat
mengatasi bebanan dan kerugian akibat serangan penyakit tersebut.
Beliau berkata pada masa kini, kakitangan kementerian melalui jabatan
pertanian dan jabatan berkaitan sedang mengumpul data serta maklumat
terperinci dan menyeluruh termasuk jumlah keluasan, kerugian dan jumlah
petani yang terlibat untuk diambil tindakan lanjut.
"Kita
belum lagi mempunyai maklumat terperinci dan tepat dan berdasarkan
maklumat awal, jumlah yang terjejas tidaklah besar sangat dan tidak
melibatkan keseluruhan petani.
"Oleh itu sebarang bentuk bantuan belum dapat diputuskan kerana kita
perlu menunggu laporan lengkap dan melihat cadangan bagi mengatasi
masalah itu," katanya pemberita pada majlis penutupan program Satu
Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Bera hari ini.
Yang turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Kemayan, Datuk Mohd Fadil
Osman dan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Ismail
Ahmad.
Pada majlis itu sebanyak 420 peserta yang terdiri daripada individu berusia 45 tahun atas menerima lesen memandu.
Ismail Sabri berkata kerajaan Barisan Nasional prihatin dengan nasib
yang menimpa petani dan sentiasa berusaha secara berterusan bagi
membantu golongan itu agar mereka tidak terus menanggung kesusahan dan
menderita.
Katanya meskipun ia tidak membabitkan jumlah kawasan yang luas, namun
penyakit karah padi dikesan turut berlaku di negeri jelapang padi iaitu
Kedah.
"Walaupun ia tidak banyak, bagaimanapun ia turut menjejas pendapatan
petani di kawasan berkenaan dan ia tidak menjejaskan pengeluaran padi
secara keseluruhan dan masalah ini akan dapat diatasi dengan baik,"
katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan