KUALA LUMPUR – Tahun 2008 hingga 2010 selepas PRU ke 12 yang
lalu merupakan antara saat-saat getir bagi PAS di Kedah bagi menghadapi
karenah, menjaga maruah PKR dan PR disamping mempertahankan air muka,
kerajaan supaya tidak tersungkur di tengah- tengah perjuangan.
Menurut bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Kedah,
Muhammad Sanusi Md Nor, beliau merasa terpanggil untuk memberikan
pandangan di atas kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor berikutan
perbandingan situasi Selangor- Kedah itu tidak wajar.
“Saya tak berhasrat membuka pekung atau mengungkit. Tapi bila Saifudin
dan Rafizi mula mengungkitkan stand mulia PKR di Kedah tentang kerusi
MB, saya terpanggil untuk menyatakan bahawa perbandingan situasi
Selangor- Kedah itu tidak wajar.
“PKR tidak berada dalam kondisi yang wajar untuk berbicara siapa patut
jadi MB pada masa itu atas banyak faktor, bukan kerana mereka gentleman,
mulia atau baik hati,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sanusi menambah, Rafizi Ramli serta Datuk Saifuddin Nasution yang
bersungguh-sungguh mahu PAS supaya mengambil iktibar dan contoh dari
sikap PKR Kedah dalam menghadapi kemelut Menteri Besar Selangor yang
semakin meruncing masih samar dengan situasi sebenar yang berlaku
tatkala itu.
“Di mana Rafizi, Saifuddin dan tokoh-tokoh besar PKR yang minta PAS
contohi sikap PKR di Kedah dalam isu MB Selangor sekarang, pada masa
kerusi kena dibilang setiap hari pada masa itu itu?
“Tempoh itu adalah waktu-waktu getir PAS Kedah menghadapi karenah PKR,
menjaga maruah PKR, maruah PR dan maruah kerajaan supaya jangan tumbang
di tengah jalan. Adun-adun PKR Kedah melompat, merancang melompat,
menjual diri dan kerusi, memakan cengkeram untuk menyeberang,” tambah
Sanusi.
Jelasnya, semasa Datuk Seri Azizan Abdul Razak masih bergelar Menteri
Besar Kedah, seorang ADUN telah dipaksa untuk meletak semua jawatan
meskipun telah dinasihatkan oleh Menteri Besar sendiri supaya dilucutkan
jawatan dari Exco, namun keputusan itu disanggah keras oleh Ketua Umum
PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mahukan dia letak semua jawatan,
hilangkan diri seketika, menyebabkan PR terpaksa hadapi PRK Bukit
Selambau.
“Daripada hari pertama melarikan dia daripada satu komplot BN yang
bersiap membawanya ke Putrajaya, hinggalah dia pulang dari India, saya
terpaksa menguruskan segala-galanya - memujuknya, menguruskan proses
penyediaan dokumen sumpah, surat perletakan jawatan, menenangkan anak
isterinya, hotel persembunyiannya, makan minum dalam persembunyian,
membayar ganti rugi kerosakan rumah sewanya, menguruskan makan pakai dan
tempat tinggal, sekolah dan keselamatan anak isterinya. Berpuluh ribu
belanja untuk itu, semuanya PAS tanggung!
“PAS Kedah berhabis beratus ribu pula untuk PRK Bukit Selambau atas
kehendak PKR. Habis berpuluh ribu lagi nak jaga baki Adun PKR yang belum
melompat...,” tegasnya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Sanusi turut memberitahu PKR langsung tidak
memperdulikan nasib dan kebajikan kesemua Adunnya sehinggakan PAS Kedah
terpaksa membayar hutang lama seorang Adun PKR yang telah diisytiharkan
muflis dan diiklankan di dada-dada akhbar hampir seratus ribu. “MB
terpaksa diam saja bila dapat tahu dia telah arahkan GLC beri kebenaran
kepada sebuah syarikat pengusaha kuari pasir yang kebetulan melalui
tanah milik agensi itu- untuk menampung perbelanjaannya. Ada PKR peduli
kesukaran Adun-adunnya ?
“Sepanjang waktu-waktu getir, setelah mendapat maklumat tawaran lumayan
semakin meningkat untuk mereka melompat menumbangkan kerajaan, saya
kerahkan anggota unit keselamatan PAS bertugas 24 jam mengiring dan
memantau pergerakan semua ADUN PR Kedah secara senyap dan terbuka,”
jelasnya.
Sementara itu, beliau turut berpesan agar PKR di Selangor untuk tidak
campur tangandalam krisis yang dicetuskan oleh seorang Adun PAS dan
sekelompok pengikutnya tentang kedudukan Menteri Besar dan mereka tidak
seharusnya sama sekali menyamakan situasi di Selangor sekarang sama
seperti Kedah.
“Mengucap permohonan maaf dan terima kasih pun mereka tak mampu, masih
ada hati mahu mengungkit mereka tidak campur tangan dalam isu siapa
patut jadi MB Kedah masa tu?
“Sebenarnya bukan mereka tak mahu ikut campur, tapi mereka lumpuh segala
anggota dari banyak sudut untuk bercakap tentang kelayakan! Perlukah
saya ceritakan semuanya?
“Kekalahan PR Kedah - walaupun ada faktor lain- turut disumbangkan oleh faktor karenah Adun dan MP PKR yang melompat,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan