Isnin, 4 Ogos 2014

Isu air: Khalid sudah bosan dengan PKR yang suka berpolitik

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bekerjasama dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula industri air Selangor yang  didakwa membelakangkan parti, adalah disebabkan beliau 'bosan' dengan sikap PKR yang gemar berpolitik  sedangkan dirinya lebih mementingkan kepentingan rakyat. 
 
Penganalisis politk, Dr Ismail Sualman berkata, pendekatan yang dilakukan oleh Khalid sememangnya akan memberi kebaikan untuk jangka masa yang panjang kerana beliau lebih arif dalam hal ehwal pentadbiran negeri berbanding pemimpin lain di dalam parti. 
 
"Tindakan Khalid ini telah menyerlahkan belang sebenarnya sebagai seorang yang lantang dan mementingkan rakyat.
 
"Ia adalah sangat wajar. Sikapnya itu bertentangan dengan PKR yang suka berpolitik. Beliau melakukannya tanpa perlu merujuk kepada 'bos' partinya kerana sebagai pentadbir, beliau tahu apa yang berlaku (dalam negeri)," katanya kepada Antarapos.
 
Terdahulu Khalid menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri air yang dengan kerajaan pusat. 
 
Perjanjian Dasar Induk adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani kerajaan negeri dengan kerajaan pusat pada 26 Februari lepas berkaitan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan Sistem Agihan. 
 
Perjanjian itu juga bermakna kerajaan negeri terikat kepada syarat-syarat yang termaktub di dalamnya sekali pun Khalid ditukar sebagai Menteri Besar Selangor - sebagaimana yang dituntut oleh PKR.
 
Tindakan Khalid itu dilihat sebagai satu lagi langkah berani beliau walaupun kedudukannya sebagai Menteri Besar ibarat berada di hujung tanduk memandangkan gerakan untuk menggulingkannya dilakukan secara terang-terangan.
 
Sebelum ini, tindakannya menandatangai memorandum persefahaman (MoU) berhubung penstrukturan air Selangor turut mendapat kecaman daripada PKR dan Pakatan Rakyat, dan mendakwa ianya sebagai membelakangkan parti.  
 
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mempersoalkan isi kandungan MoU yang dimeterai Februari lalu sebagai tidak telus dan merugikan rakyat .Malah dakwa Rafizi, perjanjian yang ditandatangani oleh Khalid Ibrahim berkemungkin besar menyaksikan tarif air meningkat.
 
Bagaimanapun, Khalid memberi jaminan bahawa kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk sehingga empat tahun akan datang.
 
"Siapa pun yang akan menjadi Menteri Besar selepas ini perlu akur dengan perjanjian itu. 
 
"Mungkin ini adalah strategi Khalid yang menggambarkan beliau telah melunaskan tanggungjawab sosialnya kepada rakyat, sekalipun setelah tidak ada dalam pentadbiran kelak," kata Ismail.

Tiada ulasan: