SHAH ALAM: Exco daripada PAS, Ustaz Sallehen Mukhyi menolak kononnya parti itu tidak lagi menghiraukan Pakatan Rakyat apabila keempat-empat exconya hadir dalam mesyuarat minggu bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pagi tadi.
Menurutnya, tidak sepatutnya timbul soal muafakat dalam hal itu kerana apa yang dilakukan adalah berdasarkan kepada amanah yang diberikan oleh rakyat.
Sebaliknya, kata Adun Sabak itu, segala persoalan berkaitan hubungan antara komponen Pakatan Rakyat adalah urusan pimpinan pusat.
"Soal muafakat ini kita serah kepada pimpinan pusat, saya tiada komen.
"Kerja saya adalah meneruskan arahan daripada PAS Pusat sendiri sehingga 17 haribulan ini. Kalau ada apa-apa keputusan baharu, akan dibuat pada hari itu," ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri.
Tiga exco lain yang turut hadir ialah Iskandar Abdul Samad (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar), Dr Halimah Ali (Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan) dan Dr Ahmad Yunus Hairi (Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam). - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan