kemelut politik


KOTA BHARU - Pembubaran Dun dan undi tidak percaya, antara alternatif yang mampu menangani kemelut jawatan Menteri Besar Selangor.

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof berkata, kedua-dua tindakan yang selari dengan prinsip demokrasi negara ini perlu dilakukan bagi menyelesaikan kemelut politik Selangor selepas melalui beberapa episod termasuk penyingkiran enam Exco PKR dan DAP beberapa hari lalu.

“Walaupun bagi saya, pilihan raya negeri tindakan terbaik, namun sebagaimana kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia perlu dielakkan kerana akan menelan kos tinggi (RM50 juta) jika diadakan, selain turut membosankan rakyat.

“Berasaskan prinsip demokrasi, jika ada krisis sebegini, tiba di satu tahap, dua tindakan perlu dilakukan, sama ada melalui undi tidak percaya di Dun atau Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika masih menjadi menteri besar menasihati Sultan untuk membubarkan dewan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Wacana Minda, di sini, semalam.

Dalam pada itu, mengulas isu kerajaan campuran di Selangor, Mohammad Agus berkata, Pas akan berpecah dan menjadi parti paling rugi jika mengambil keputusan bergabung dengan Umno.

“Jika Pas keluar Pakatan Rakyat (PR) dan menyokong Abdul Khalid untuk bergabung dengan Umno, sekali gus membentuk kerajaan negeri, saya rasa itu sukar kerana Pas pasti akan berpecah,” katanya.

Mohammad Agus berkata, mustahil untuk sampai ke tahap penggabungan parti, lebih-lebih lagi sudah ada Adun Pas yang secara terbuka membuat pengakuan tidak akan mendukung kerjasama antara parti itu dan Umno.

“Sebaliknya perjalanan politik seterusnya adalah bagaimana Speaker memutuskan mengadakan sidang Dun dengan perkenan Tuanku untuk membuat undi tidak percaya,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju Selangor, Mohammad Agus berkata, masih banyak polemik yang akan tercetus selepas ini termasuk kedudukan Abdul Khalid sebagai menteri besar, kewujudan kerajaan campuran dan  undi tidak percaya.

“Semuanya belum tentu, saya tidak boleh memberikan pandangan awal mengenai perkara itu, bagaimanapun yang pasti sesebuah negeri tidak akan mampu bertahan dengan hanya mempunyai jumlah Exco minimum, apatah lagi dengan status menteri besar yang bebas, dan belum ada kepastian majoriti ahli dewan,” katanya.