Jumaat, 8 Ogos 2014

Dr Zasmani: Akar umbi PP mahu Khalid kekal

MALAYSIAKINI


Seorang ahli seumur hidup PKR, Prof Madya Dr Zasmani Shafiee mendakwa bahawa ahli akar umbi PKR Pulau Pinang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus dikekalkan sebagai menteri besar Selangor.
  
Beliau yang mendakwa mewakili suara akar umbi anggota PKR berkata tidak ada sebab Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggantikan Abdul Khalid kerana menteri besar Selangor itu mentadbir urus negeri dengan baik.
  
"Ramai di antara kami ahli-ahli akar umbi berasa kecewa, keliru dan marah terhadap sikap segelintir pemimpin atasan yang telah mencemar nama baik parti.

"Parti ini pun parti kami juga, parti ini bukan sendirian berhad. Kami pun ada hak dalam parti ini dan kami boleh bersuara.
  
"Jadi, kami terasa agak terkilan apabila segelintir pemimpin kami telah mencemar nama baik parti melalui 'serangan' bertubi-tubi, tuduh menuduh, mengaibkan pemimpin kanan seperti Tan Sri Abdul Khalid secara umum," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghantar laporan aduan berkaitan proses pemilihan 2014 cabang Bayan Baru di Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Pulau Pinang, Seberang Perai Utara hari ini.
  
Dr Zasmani yang juga merupakan pengerusi Memacu Arus Perjuangan (MAP) Pulau Pinang, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang rata-rata dianggotai ahli akar umbi PKR.

Beliau menyifatkan tindakan segelintir pemimpin atasan yang membuat 'serangan' terhadap Abdul Khalid seperti tiada lagi adab, hormat dan disiplin.- Bernama

Tiada ulasan: