Rabu, 13 Ogos 2014

DAP mahu PAS segera nyata pendirian sokong Khalid atau tidak

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS digesa untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim atau tidak untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
 
Desakan itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng ekoran Barisan Nasional (BN) sudah menyatakan sokongan kepada Khalid, tetapi hanya PAS masih belum menyatakan pendirian mereka dalam perkara itu.
 
"PAS perlu segera menyatakan pendirian sama ada mereka menyokong keputusan Umno atau tidak dalam memberi sokongan tidak bersyarat kepada Khalid untuk terus menjadi Menteri Besar Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
DAP dan PKR sudah menyatakan pendirian menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tetapi PAS masih belum membuat keputusan rasmi.
 
Lim berkata, jika PAS menyokong pendirian Umno, ia adalah isyarat jelas berakhirnya kesepakatan dalam PR di peringkat negeri dan nasional.
 
"Jika PAS enggan menyokong pertukaran menteri besar, ini akan menjadi petanda kepada perpecahan dan berakhirnya kesepakatan PR di peringkat negeri dan nasional," katanya.
 
"Bagaimanapun, jika PAS menyatakan mereka tidak menyokong Umno, ia akan menjadi isyarat PAS bersetuju menggantikan Khalid dengan MB baharu.
 
"Jika PAS berkata mereka tidak bersama Umno, ini menjelaskan PAS menyokong menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor tetapi berhasrat menunggu hingga 17 Ogos bagi memutuskan sama ada menyokong calon pengganti pilihan PKR," katanya.
 
Lim berkata, kelewatan PAS untuk menyatakan pendirian dalam isu ini tidak boleh diterima.
 
"Sebarang kelewatan dalam membuat pengisytiharan ini tidak boleh diterima kerana ia tidak menunjukkan kebertanggungjawaban ke atas mandat yang diberikan kepada 15 Adun PAS semasa Pilihan Raya Umum 2013 lalu," katanya.
 
Umno tidak memiliki majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tetapi jika PAS turut menyokong Khalid dikekalkan sebagai MB kedudukan DUN akan tergantung kerana Umno mempunyai 12 Adun, PAS 15 dan satu wakil bebas, iaitu Khalid, menjadikan ia separuh daripada jumlah keseluruhan 56 DUN Selangor.

Tiada ulasan: