MALAYSIAKINI
Penyanyi Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi
(ICU) di sebuah hospital swasta di ibunegara kerana jangkitan
paru-paru.
Menurut satu kenyataan, Sharifah Aini yang genap 61 tahun hari ini, disahkan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lepas.
Konsultan Pakar Respiratori Datuk Dr Zainuddin Md Zain, yang merawat
beliau, berkata situasi itu jarang berlaku dan menyebabkan paru-paru
hilang kekenyalan atau berparut akibat penebalan tisu perantara.
"Penyanyi itu dibawa ke hospital oleh anak lelakinya, Aliff Omar Ali
pagi semalam apabila beliau menghadapi kesukaran bernafas," menurut
kenyatan itu.
Terkenal dengan lagu 'Seri Dewi Malam', Sharifah Aini dilaporkan stabil
namun dinasihat tidak menerima pelawat kecuali anggota keluarga.
Beliau memulakan kerjaya sebagai penyanyi selepas memenangi Pertandingan
Juara Bintang RTS (Radio Televisyen Singapura) menerusi lagu 'Tiga
Malam' pada 1968.
Sharifah Aini dianugerah 'Biduanita Negara' iaitu gelaran tertinggi
negara untuk penyanyi wanita sebagai menghargai sumbangannya kepada
industri muzik, rakyat dan negara.
Penyanyi era 70-an itu menerima anugerah Panglima Jasa Negara (PJN),
yang membawa gelaran 'Datuk', daripada Kerajaan Persekutuan pada Jun
2003.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan