Pembantu peribadi Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hari ini, mendakwa ada pihak cuba mencemar nama baik majikannya itu dengan mengaitkannya dengan insiden Lahad Datu.
  
Hasbiallah Hakaman berkata ini kerana Ridhwan, 47, ada menguar-uarkan bahawa beliau bercadang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Prai.
  
"Mungkin isu ni timbul kerana dia ada uar-uarkan dia nak bertanding di sana... dia adalah calon yang disukai rakyat di sana. Siapa main konspirasi ni, saya tak tahu," katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini.
  
Ketika ditanya sama ada penahanan tersebut akan menjejaskan nama Ridhwan, Hasbiallah berkata: "Belum jatuh kesalahan lagi, jadi tak boleh kata nama dia terjejas."
  
Ketika ditanya mengenai hubungan Ridhwan dengan Sultan Muedzul Lail Tan Kiram, beliau berkata ia hanya sekadar hubungan perniagaan dan kini tidak lagi berhubungan.
  
"Hubungan perniagaan ini berlaku sebelum kejadian (pencerobohan militan) di Lahad Datu (Sabah) lagi. Mereka membuat perniagaan kelapa kering dan Ayahanda (Ridhwan) ada bantu orang di sana yang miskin," katanya dan enggan mendedahkan jumlah dana yang disumbangkan.
  
Ketika ditanya mengenai reaksi Ridhwan yang ditahan di bawah SOSMA, Hasbiallah berkata: "Moral dia ok, dia tak ada masalah. Dia tahu dia di pihak yang benar dan dia yakin itu, lagipun persatuan tu bukan ditubuh untuk buat keganasan, tapi untuk kebajikan.
  
"Kami ada bukti-bukti dia (Ridhwan) tak terlibat. Dia ditahan di bawah SOSMA. Esok polis akan beritahu lanjut tentang penahanan ini dan saya serahkan pada lawyer," katanya.
  
Muhammad Ridhwan merupakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia.- Bernama