SHAH ALAM : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 810,000 pengundi wanita di Selangor untuk terus menyokong Pakatan Rakyat supaya program dan dasar yang telah banyak memberi faedah kepada wanita dapat dipertingkatkan.
Abdul Khalid berkata pentadbirannya akan terus memperkukuh program dan dasar terhadap wanita di Selangor yang meliputi program rumah mampu milik, pendidikan, bantuan ibu tunggal serta warga emas.
“Antara lain, Kerajaan Negeri memberi peluang kepada wanita untuk mendapat latihan melalui Program Memperkasakan Wanita di bawah Geran Selangorku dengan peruntukan sebanyak RM 30 juta untuk menjayakan program Wanita Menentang Jenayah (Mothers Against Crime).
“Seperti sedia maklum, di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kita menyediakan dua program khas untuk wanita,” Abdul Khalid berkata di dalam kenyataannya sempena sambutan Hari Wanita sedunia hari ini.
“Skim Kesihatan Wanita (Mammogram) dan Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA) yang mana sebahagian besarnya didominasi oleh kaum wanita,” ujar beliau dalam perutusan khasnya.
Ekoran peningkatan kos sara hidup, Kerajaan Negeri sejak lima tahun lalu memperkenalkan Program Jom Shopping kepada warga emas serta yang baru dilancarkan awal tahun ini, Program Jom Shopping khusus untuk golongan ibu tunggal.
Malah, tindakan Kerajaan Negeri melantik wanita sebagai Yang Dipertua Majlis dan Datuk Bandar wanita yang pertama di negara ini juga merupakan pengiktirafan yang tinggi khususnya buat penjawat awam wanita di Selangor.
Sehubungan itu, demi meneruskan kecemerlangan dan kelangsungan agenda memperkasa wanita, Adun Ijok itu menyeru 52 peratus pengundi wanita berdaftar untuk terus bersama Pakatan Rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Di peringkat nasional, kita seru wanita agar mengundilah demi perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat,” pesan Abdul Khalid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan