SHAH ALAM,: DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berasa bangga dengan integriti dan kecekapan Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan Negeri yang telah bersungguh-sungguh mentadbir Selangor dengan jayanya.
Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pujian tersebut dititahkan kepadanya sendiri dalam satu pertemuan sedikit masa dahulu.
“Ada masanya, kami berbual ringan dan dalam perbualan kami Baginda kata bahawa Baginda bangga dengan ‘team’ Kerajaan Negeri sekarang,” kata Abdul Khalid dalam Majlis Penyampaian Cek Sekolah-sekolah Tamil Negeri Selangor malam tadi.
Menurut Abdul Khalid, penghargaan Sultan Selangor itu tidak pernah diceritakan kepada mana-mana ahli Exco supaya mereka tidak riak dan lalai dengan pujian tersebut.
Dalam ucapan sama, Abdul Khalid turut menyelar Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mendakwa pentadbirannya gagal mentadbir Kerajaan Negeri dengan baik.
Sedangkan prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor jauh lebih baik daripada prestasi pentadbiran Umno-BN selama 11 penggal sebelum ini.
Kejayaan tersebut termasuklah peningkatkan rizab negeri daripada hanya RM 400 juta yang tinggalkan pentadbiran Umno-BN kepada RM 2.6 bilion semasa PR Selangor.
Selangor turut mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 49.75 bilion sepanjang 2008 ke 2012 sekaligus mengekalkan prestasi negeri itu sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan