Ahad, 24 Mac 2013

Siar manifesto PRU: Kerajaan tak ikhlas, kata Pakatan

JAMILAH HAMZAH
Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa kerajaan tidak bertindak telus dalam soal memperuntukkan ruang masa kepada parti-parti politik memperkenalkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR  akan mengadakan perbincangan untuk memutuskan keperluan  pakatan pembangkang menggunakan ruang 10 minit yang diberikan kerajaan.

Menurutnya, tempoh masa dan syarat  yang diumumkan  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kelmarin  seperti "memperbudakkan" parti politik terutamanya pembangkang.

Beliau berkata, pada umumnya RTM adalah 'ala' Barisan Nasional (BN) yang digunakan 24 jam sehari untuk menyiarkan makluman termasuk manifesto parti kompenan perikatan itu.

"Kita masih tak ada keputusan, kita perlu berbincang untuk lihat sama ada itu menjadi satu keperluan kita untuk siarkan manifesto atau tidak.

"... tempoh masa 10 minit dengan syarat yang tidak relevan, ini untuk apa? Untuk memberitahu dunia media kita bebas dan memegang prinsip demokrasi?

"Rais perlu mempertimbangkan semula, jangan memperbudakkan kita," katanya kepada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Rais mengumumkan parti politik boleh membentangkan manifesto selama 10 minit selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Beliau juga berkata, setiap parti politik yang menggunakan ruang ini perlu mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh RTM termasuklah melalui rakaman.

"Semua parti politik yang berganding dan bertanding akan dapat peluang untuk mengumumkan manifesto mereka selama 10 minit, dan kami beri peluang ini sekali gus, baik kepada BN ataupun pihak pembangkang.

"Tinggal lagi sama ada mereka menggunakannya atau tidak, ini terserah kepada mereka, tetapi kami di kementerian telah bersedia untuk melaksanakannya," katanya.

Mengulas lanjut Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kebebasan dan keadilan media perlu diberikan sama rata kepada semua parti politik.

"Kalau nak bagi parti politik guna media, bagilah secara adil, bukan buat syarat saja untuk tunjukkan media kita bebas," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa pembaharuan yang cuba dibawa kerajaan yang memerintah itu satu perkara yang mengaibkan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang itu berkata, sekurang-kurangnya tempoh penyiaran diberikan selama 30 minit untuk memberi penjelasan kepada rakyat tentang manifesto parti politik.

"... jika itu satu pembaharuan yang dibuat oleh kerajaan ia adalah perkara yang mengaibkan.

"Tempoh 10 minit itu hanya sebagai ajak-ajak ayam dan tidak kembali kepada kebebasan media yang dituntut Bersih.

"Pas menghargai ruang itu, namun masa perlu dipanjangkan, sekurang-kurang setengah jam untuk memberi penjelasan kepada rakyat dan membolehkan mereka menilai," katanya.

Tambahnya, Pas juga masih belum memutuskan untuk menggunakan platform yang diberikan kerajaan.

"Setakat ini, Pas masih belum ada keputusan dan perlu berbincang dan akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Tiada ulasan: