Khamis, 7 Mac 2013

Rakyat perlu jadi pendesak pulihkan kebebasan media

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Rakyat perlu memainkan peranan penting sebagai kumpulan pendesak utama bagi memastikan liputan media adil dan saksama tidak hanya menjelang pilihan raya umum tetapi terus dipraktikkan sebagai medium maklumat bebas kepada semua.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), Anthony Loke Siew Foke, berkata melalui desakan rakyat, parti politik dan masyarakat sivik, wujud sedikit perubahan dalam peranan media negara ini dengan memberi contoh yang dapat dilihat pasca Pilihan Raya Umum 2008.

Ini antara lain dapat dilihat melalui trend laporan akhbar utama negara ini yang memberi laporan neutral dan bebas seperti Sinar Harian selain wujud banyak siri debat isu semasa yang disiarkan secara langsung.

“Di sini kita tidak boleh menafikan peranan Bersih yang berjaya menggerakkan massa rakyat menuntut reformasi pilihan raya dalam negara ini melalui beberapa tuntutan antaranya kebebasan media,” katanya ketika membahaskan topik Peranan Media dan Masyarakat Sivik pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 di Malaysia, di Kelab Taman Perdana Diraja Kuala Lumpur, hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah itu berkata, perubahan yang berlaku dalam peranan media di Malaysia lebih menonjol setelah parti oposisi bergabung membentuk Pakatan Rakyat (PR).

“Pada Pilihan Raya Umum 2004, parti oposisi tidak bersatu, ia menyebabkan Barisan Nasional (BN) menang besar dengan hanya 20 Ahli Parlimen di kalangan oposisi. Kemudian, pada 2005, 2006, berlaku banyak perubahan dalam parti oposisi di mana lebih banyak kerjasama dilakukan dengan kumpulan masyarakat sivil berlandaskan kepentingan bersama,” ujarnya.

Tambah beliau, antara memorandum Bersih yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong ketika itu adalah tuntutan supaya pilihan raya di negara ini dijalankan dengan bersih, adil dan telus membabitkan kebebasan media

“Apa yang berlaku selepas itu, SPR memanjangkan tempoh kempen pilihan raya daripada 10 hari kepada 13 hari dan ia memberi beberapa signifikan dan kelebihan kepada parti politik yang bertanding.

“Disebabkan sokongan kuat rakyat, PR dan masyarakat sivil dalam himpunan Bersih 2011, kerajaan menubuhkan PSC di mana banyak mesyuarat dan pendengaran awam berjaya diadakan,” ujar beliau.

Menurut Loke, antara usul yang dibincangkan dalam PSC ialah akses kepada media yang lebih adil diberi kepada parti politik.

“Akhirnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan bahawa mereka bersedia memberi akses yang adil. Tetapi sehingga kini ia tidak berlaku sepertimana yang dimahukan,” katanya.

Bagi penulis dan aktivis media sosial, Hishamuddin Rais, media baru berhadapan cabarannya tersendiri dalam menghadapi pilihan raya umum.

“Sebelum kita benar-benar membabitkan sepenuhnya peranan media baru, kita harus melihat kepada ‘media lama’ yang mana mereka mempunyai pelabur dan sebagainya.

“Dalam media baru, ia tak sama, semua berubah. Tidak ada editor, tidak ada wartawan, tidak ada pelabur, semuanya jadi ‘all in one’,” kata beliau.

Menurut Hishamuddin, idea kebebasan media perlu diperluaskan lagi kepada idea kebebasan ‘hak untuk bebas mencetak’ yang akhirnya tidak perlu bergantung kepada media arus perdana.

Beliau turut menyentuh antara perkara yang semakin dilupakan ialah sebaran umum melalui risalah.
“Cetakan risalah kertas ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh oposisi. Inilah caranya. Kita tidak boleh hanya menunggu untuk menggunakan media utama seperti TV3,” katanya lagi.

Hishamuddin yang juga seorang blogger berpengaruh menceritakan bagaimana revolusi Islam di Iran boleh berjaya melalui cara pengedaran risalah ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: