Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Pencerobohan di Lahad Datu, Sabah patut
dijadikan pengajaran supaya kerajaan tidak sewenang-wenangya memberi kad
pengenalan (IC) kepada warga asing.
Demikian Pengerusi KEADILAN Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin mengulas
isu ‘pasar malam Bangladesh’ di kawasan Perindustrian Bukit Rambai,
Melaka yang dipenuhi peniaga warga asing tersebut.
“Semua
ini berlaku kerana kerajaan sewenang-wenangnya membenarkan kemasukan
warga asing. Disebabkan itu mereka berani berbuat apa sahaja. Kita juga
tidak menolak kemungkinan mereka turut memiliki IC.
“Sepatutnya kerajaan mengambil iktibar apa yang berlaku di Lahad
Datu. Tidak mustahil suatu hari nanti, rakyat Bangladesh pula mendakwa
tanah di kawasan itu milik mereka dan berani bertindak sesuka hati,”
kata Shamsul ketika dihubungi.
Pasar malam Bangladesh itu terbongkar apabila Jabatan Imigresen Melaka membuat serbuan ke lokasi itu.
Mereka mendapati warga asing terlibat mengadakan aktiviti perniagaan barangan keperluan termasuk sayur-sayuran.
Hasil serbuan itu, pihak berkuasa tersebut berjaya menahan 50 pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia 19 hingga 42 tahun.
Ia melibatkan 17 warga Indonesia, Bangladesh (sembilan), Myanmar (lapan), Nepal (15) dan Palestin (satu).
Justeru, Shamsul menggesa kerajaan tidak terlepas pandang dan
bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab memberi IC kepada Pati.
“Mereka akan keluar mengundi jika ada IC. Jika kita bertanggungjawab, jangan sesekali benarkan mereka pilih pentadbir negara.
“KEADILAN sendiri akan membuat pemantauan untuk melihat sejauhmana
warga asing itu menjalankan kehidupan mereka sama ada memiliki IC atau
tidak,” ujar Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan