TERKINI
KUALA LUMPUR — Dalam usaha yang tidak disangka, PAS telah
bergerak untuk menggagalkan kempen saat-saat terakhir oleh Datuk Seri
Najib Razak bagi menarik penjawat awam dengan mengatakan Pakatan Rakyat
(PR) akan sepadan dan memperbaiki apa-apa janji oleh perdana menteri
seperti menaikkan gaji dan elaun.
Najib dijangka akan mengumumkan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan gaji sehingga 10 peratus, memperbaiki elaun kos kehidupan dan perumahan kepada 1.5 juta penjawat awam hari ini.
“PAS Pusat yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan, mana-mana pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk perkhidmatan awam akan diteruskan jika sekiranya Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya,” kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyenaraikan tiga inisiatif yang akan diketengahkan oleh PR dengan yang pertama untuk memperbaiki habuan kepada penjawat awam, termasuk kenaikkan pangkat kepada semua penjawat awam termasuk guru, pegawai kastam, polis, tentera dan lain-lain.
“Kami akan menerima pakai amalan di Kelantan di mana semua pinjaman perumahan dan kenderaan kakitangan awam dihapuskan kenaan caj bunga empat peratus bermula dari tarikh PR mengambil alih Putrajaya,” kata Husam sambil menambah semakan pinjaman sekarang akan dilakukan untuk memastikan kerajaan boleh menanggung implikasi kewangan.
Inisiatif ketiga adalah faedah bagi kakitangan awam yang berpendapatan rendah serta rakyat Malaysia umumnya, kadar pelepasan cukai yang ada sekarang dicadang dikaji semula untuk dinaikkan.
Husam (gambar) menambah, perlepasan cukai bagi mereka yang mempunyai isteri dan anak-anak yang ada sekarang menyebabkan kakitangan awam dan orang ramai tidak mendapat pendapatan benar yang cukup untuk membiayai kos hidup yang tinggi pada hari ini.
Kedua-dua BN dan PR berusaha untuk memenangi undi penjawat awam yang menjadi kunci kemenangan daripada 13.3 juta pengundi yang akan membuang undi dalam pilihan raya tahun ini.
PAS dan sekutunya DAP dan PKR menggemparkan BN dalam Pilihan Raya 2008 apabila menafikan majoriti tradisi dua pertiga mereka di parlimen. Gabungan tiga parti itu memenangi 82 kerusi dan empat negeri dan menyebabkan PR ditubuhkan.
Pilihan raya umum akan diadakan pada bila-bila masa kerana BN masih belum membubarkan parlimen Jumaat lalu, tepat lima tahun selepas pilihan raya lalu walaupun mandat mereka berakhir pada 28 April.
Husam juga mengatakan PAS Pusat membincangkan tentang keperluan kajian dibuat terhadap penalti 45 peratus yang di kenakan kepada pembayar cukai bila jumlah cukai yang diumumkan berbeza dengan yang ditafsirkan oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri.
“Penalti tersebut membebankan pembayar cukai. Kutipan cukai negara meningkat kerana penalti 45 peratus itu dikenakan. Pada tahun ini dijangka kutipan cukai termasuk penalti itu akan menjadi yang tetinggi pernah dikutip,” katanya.
“Peningkatan kutipan kerana penalti wajib seperti ini menambahkan lagi tekanan terhadap rakyat jelata.”
Husam juga berkata PAS akan mengkaji semula cukai ke atas eksport sawit mentah (CPO) sebanyak 23 peratus yang menyebabkan harga kelapa sawit Malaysia lebih mahal di pasaran antarabangsa sementara Indonesia telahpun dua kali menurunkan cukai CPO menjadikan harga sawit mereka lebih berdaya saing.
Beliau berkata langkah tersebut boleh membantu meningkatkan harga CPO dan ini memberikan faedah termasuk kepada pekebun-pekebun kecil di seluruh negara akan tetapi polisi Putrajaya memberikan Permit Diluluskan (AP) kepada syarikat terpilih untuk mengeksport tujuh juta tan CPO tanpa cukai telah merugikan negara.
Husam mengatakan PAS akan menyemak kembali sistem tersebut serta jawatankuasa akan ditubuhkan dan ia akan mencadangkan pendirian PAS terhadap penalti cukai 45 peratus, kadar cukai CPO yang baru dan menghapuskan sistem AP eksport minyak sawit mentah.
Malaysia adalah negara pengeluar CPO kedua terbesar dunia dengan kedua-dua negara bersaing untuk pasaran di rantau ini terutamanya China dan India.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan