Khamis, 7 Mac 2013

Pakatan Rakyat bertegas mahu sidang khas Parlimen isu Lahad Datu

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat mengulangi pendirian mahu kerajaan adakan sidang khas Parlimen berhubung tragedi pencerobohan Lahad Datu.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, persidangan itu perlu untuk membincangkan persoalan penting mengenai krisis tersebut kerana Ahli Parlimen berhak dapatkan penerangan sepenuhnya.

Lahad

" Kita perlu ambil iktibar. Penyelesaian politik perlu difikirkan sebagai strategi jangka panjang untuk pulihkan keadaan di Sabah,” katanya pada twitter hari ini.

Kata Ahli Parlimen Batu itu, Pakatan turut rakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan atas usaha mereka menyelesaikan krisis pencerobohan tersebut.

Senada menuntut sidang khas Parlimen, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, penyelesaian politik perlu sebagai strategi jangka panjang untuk memulihkan situasi di Sabah.

Situasi ini katanya, mungkin mengakibatkan krisis politik berlarutan meskipun tindakan ketenteraan menyelesaikan konflik ini untuk sementara waktu.

“Parlimen perlu tahu berapa jumlah sebenar penceroboh yang boleh menembusi sempadan negara. Adakah pasukan keselamatan (polis) diberikan arahan serta matlamat tugasan yang jelas semasa menjalankan operasi?

“Adakah ini berlaku kerana kegagalan perisikan dan mengapa pencerobohan ini pada awalnya tidak dianggap sebagai ancaman bersenjata atau kerajaan tersalah anggap ancaman dari gerombolan penceroboh ini?” katanya dipetik Media Selangorku.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

Tegas Johari, perkara ini tidak boleh dilengah memandangkan Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan semua wakil rakyat berhak mendapat penerangan penuh.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Tiada ulasan: