Ahad, 3 Mac 2013

Pakatan jamin tidak pinggirkan OKU- Anwar

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat jamin tidak akan meminggirkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kelompok minoriti lain, tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Janji dan sumpah kita untuk laksana amanah dan menegakkan keadilan tak tercapai kalau OKU terpinggir,” kata Anwar dalam ‘Dialog OKU Bersama Pakatan’ di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH), hari ini.

Tegas Anwar, antara hal paling utama akan diberi perhatian dalam manifesto Pakatan Rakyat adalah peluang pendidikan untuk rakyat termasuk warga OKU.

“Demokrasi adalah akses kepada pendidikan yang berkualiti. Saya jelaskan, kita fokus kepada peluang pendidikan untuk semua rakyat,” kata Anwar.

Justeru Anwar memberi komitmen untuk melibatkan OKU dalam pembentukan dasar-dasar Pakatan Rakyat.

“Saya tak mahu janji sekadar pilihan raya. Soal OKU dan kemiskinan bukan hanya agenda pilihan raya. Keyakinan kita ialah, jangan sampai munafik dalam politik.

“Kita boleh beri manifesto yang lunak untuk kesejahteraan rakyat. Tapi, antara ungkapan kata dan pelaksanaan, itu berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, OKU antara kelompok masyarakat yang paling kuat menyokongnya sejak gerakan Reformasi pada 1998.

“Tak pernah terputus wakil OKU hadir di setiap majlis kami. Saya nak nyatakan secara peribadi, saya terkesan dengan nostalgia, semasa saya derita.

“Apa maknya manusia bernama Anwar kalau lupa semasa dia derita, OKU berdiri tegak dan berani bersama. Saya hargai dukungan saudara,” kata Anwar disambut laungan ‘Reformasi! hadirin.

Dalam program ‘Dialog OKU Bersama Pakatan’, Anwar turut menandatangani draf ‘Pakatan Harapan OKU’ yang diserahkan kepada Pengerusi Sekretariat OKU Bangkit yang juga peguam OKU, Mohamad Faizal Che Yusoff.

Tiada ulasan: