Spekulasi itu susulan kemunculan perdana menteri di Istana Negara.
Ada pihak membuat spekulasi, kemunculan Najib di Istana Negara semalam, meskipun ia dilihat sebagai rutin mingguan sebelum mesyuarat Kabinet, sebagai tanda Parlimen akan dibubar hari ini.
Sebaliknya, Sinar Harian Online difahamkan Najib akan mengadakan pertemuan dengan kesemua ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) seorang demi seorang selepas waktu tengah hari hari ini.
Sumber BN mengesahkan Najib selaku pengerusinya akan mengadakan pertemuan dengan semua presiden anggota komponen bagi menghalusi senarai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Saya difahamkan pertemuan esok pusingan terakhir untuk tetapkan, muktamadkan senarai calon," kata satu sumber yang dekat dengan BN.
Menurut satu lagi sumber, pertemuan di Putrajaya itu akan bermula sebelah petang.
"Pada sebelah pagi perdana menteri akan menghadiri satu program berkaitan kesihatan," katanya kepada Sinar Harian Online.
Pertemuan tertutup itu menurut beliau, membabitkan semua presiden komponen BN.
BN terdiri daripada 13 parti komponen iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBS, LDP, PBRS, UPKO, SPDP dan PRS.
BN akan meletakkan calon di kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan kali ini.
"Mula-mula saya dengar maklumat batal tetapi baru setengah jam lepas, saya dapat maklumat ia diteruskan," ujar beliau, yang enggan namanya didedahkan, malam tadi.
Pertemuan hari ini sekali lagi bakal menggegar arena politik negara - sama ada pembubaran Parlimen akan bakal berlaku dalam masa yang 'sangat' dekat memandangkan Najib sehingga kini masih mahu berahsia berhubung tarikh itu.
Spekulasi semalam tersebar susulan pengumuman beberapa insentif sistem saraan perkhidmatan awam - Sistem Saraan Transformatif.
Selasa depan, Najib akan mengumumkan kad prestasi kerajaan dan disusuli dengan laporan tahunan Bank Negara.
Esok Najib akan mengadakan lawatan kerja ke Kelantan dan disusuli satu pertemuan di kawasannya iaitu Pekan Sabtu ini.
Bagaimanapun penganalisis dan pemerhati meletakkan 20 Mac iaitu Rabu depan sebagai pembubaran susulan perkembangan semasa dan juga pembubaran secara automatik Dun Negeri Sembilan (26 Mac), Pahang (7 April), Johor (21 April), Selangor (22 April), Perak (24 April), Melaka (26 April), Perlis (28 April), Kelantan (28 April), Sabah (29 april) dan Pulau Pinang (2 Mei) dam Kedah (2 Mei).
Mandat kerajaan pusat pula akan berakhir 28 April.
Kelmarin, ketika muncul di TV3, Najib berkata, kerajaan mahu memastikan transformasi yang dilakukan termasuk dari sudut ekonomi difahami dan dirasai kesannya oleh rakyat sebelum memanggil PRU13.
Sehubungan itu, Najib menaruh sepenuh harapan agar rakyat dapat memberi mandat penuh kepada BN pada PRU13 ini bagi membolehkan kerajaan sedia ada meneruskan dasar-dasar yang telah dibawa termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berkala.
Malah Najib memberitahu bahawa proses pemilihan calon BN untuk PRU13 juga belum selesai sepenuhnya.
"Hampir siap, tetapi setiap kali kita tengok, saya kira sampai kita umum nanti akan ada perubahan," kata beliau.
Najib turut menyatakan keyakinannya terhadap sokongan rakyat yang diterima sejak bergelar perdana menteri pada 2009 berdasarkan 'track record' yang baik termasuk ketika ekonomi global sedang merudum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan