Siapa sebenarnya pensabotaj UMNO dalam pilihanraya akan datang? Persoalan ini sentiasa bermain di fikiran banyak pihak. Sementara ada yang berpendapat ia terdiri daripada kalangan pemimpin yang tidak terpilih sebagai calon, lalu merajuk, menutup bilik gerakan dan mengalih sokongan kepada parti lain, ada yang merasakan pensabotaj juga mungkin daripada kalangan ahli yang tidak bersetuju dengan pemilihan seseorang sebagai calon.
Namun daripada kedua-dua golongan itu, sabotaj daripada kalangan pemimpin yang kecewa dan merajuk adalah lebih besar kesannya kepada parti dalam usaha mencari kemenangan dalam pilihanraya nanti.
Najib pula, dalam usaha mahu memenangi pilihanraya, nampaknya amat menyedari kemungkinan unsur sabotaj ini menjadi halangan utama kepadanya untuk mencapai kemenangan. Lantaran itu, selain sering mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO dan komponen BN lainnya agar mengutamakan parti dan kekal setia sama ada terpilih atau tidak sebagai calon, beliau juga meletakkan pemantau di setiap bahagian yang terdiri daripada perwakilan G7 untuk melaporkan tentang sesiapa saja yang didapati menyeleweng daripada perjuangan parti semasa pilihanraya nanti.
Beliau yang begitu teruja untuk meletakkan calon-calon "winnable" dan tidak mahu terikat dengan kedudukan seseorang dalam parti sebagai asas memilih calon pilihanraya, dalam masa yang sama juga amat bimbang sekiranya berlakunya unsur sabotaj ini. Dengan kedudukan yang kritikal sekarang dan kekuatan antara BN dan PR pula agak seimbang hampir di semua kawasan, adanya perbuatan sabotaj tentu saja memungkinkan calon BN akan menerima kekalahan di tangan lawan.
Inilah yang sebenarnya yang amat membimbangkan Najib dan menjadi salah satu sebab mengapa tarikh pilihanraya ditangguhkan sehingga kini. Walaupun kedudukan UMNO dan BN amat genting, tetapi keghairahan di kalangan pemimpin dan ahli parti yang "perasan" merekalah paling sesuai sebagai calon pilihanraya, tidak pernah ada surutnya. Dalam sering melaungkan "Hidup UMNO" dan perjuangan sentiasa berteraskan agama, bangsa dan negara, hakikatnya perjuangan untuk kepentingan peribadi sering mendahului segala-galanya di kalangan sebahagian besar pemimpin UMNO.
Keghairahan mahu menjadi wakil rakyat bukan saja berlaku di kalangan mereka yang baru menjadi pemimpin dan tidak pernah menjadi calon tetapi juga di kalangan yang sudah lama bergelar YB dan tidak lagi dilihat "winnable".
Masalah Najib ialah bagaimana beliau mahu meminimakan kemungkinan berlakunya sabotaj ini.
Tetapi sementara Najib melihat unsur sabotaj di kalangan pemimpin dan ahli UMNO, beliau juga harus melihat kepada dirinya sendiri. Keghairahan yang terlampau untuk meletakkan calon-calon yang dianggapnya "winnable" dan di luar daripada lingkungan UMNO, turut memungkinkan berlakunya sabotaj juga.
Sekarang ini, golongan pelompat-pelompat politik yang berada di sisi Najib amat ramai. Ada yang pelompat jauh, pelompat tinggi namun yang ramainya adalah pelompat katak. Mereka pelompat jarak dekat saja. Antara mereka ialah Ibrahim Ali, Ezam Mohd Nor, Zulkifli Nordin, Nasharuddin Md Isa, Dr Hassan Ali dan ramai lagi.
Sebahagian mereka ini dilihat begitu rapat dan menjadi "primadona" di sisi Najib. Mereka sering saja berada bersama Najib terutama dalam lawatan-lawatan ke luar negara. Sebahagian yang lain pula menonjolkan diri dengan keaktifan menyerang Anwar Ibrahim, Pas dan Pakatan Rakyat dengan pelbagai hujah dan logik yang difikirkan munasabah.
Ada kemungkinan sebahagian mereka ini akan dicalonkan mewakili BN dalam pilihanraya nanti. Dikatakan bahawa pemilihan mereka sebagai calon kerana dianggap "winnable" dan juga kerana telah menyumbang jasa yang besar dalam mengkucar-kacirkan pembangkang melalui pelbagai dakwaan yang dibuat sebelum ini.
Ezam, Zulkifli Nordin dan Dr Hassan Ali dilaporkan akan menjadi calon BN di Selangor manakala Ibrahim Ali pula dijangka akan diletakkan di Pasir Mas, Kelantan. Nasharuddin pula dikatakan akan menjadi calon BN di Kedah berdasarkan pengetahuan agamanya. Sementara Ezam sudah menjadi ahli UMNO, Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Dr Hassan pula tidak menyertai mana-mana parti dan hanya bergerak melalui NGO Perkasa dan Jati manakala Nasharuddin masih menjadi ahli Pas.
Jika mereka ini dipilih sebagai calon BN berdasarkan kritirea "winnable" yang sering dilaungkan Najib, ia sedikit-sebanyak tentunya akan menyebabkan ada pemimpin dan ahli UMNO di sesuatu kawasan itu merasa kecewa dan kecil hati. Mereka akan merasa dipinggirkan dan pengorbanan berhujan, berpanas dan berjaga malam selama ini langsung tidak dihargai. Kebarangkalian untuk melakukan sabotaj juga adalah tinggi.
Dalam hal ini, jika berlaku sabotaj ia tentulah berpunca daripada tindakan Najib sendiri.
Dalam kes Mahathir pula, walaupun beliau dilihat begitu gigih berkempen mahu memastikan kemenangan BN dan tidak mahu melihat Anwar menjadi Perdana Menteri, tindakannya yang terlalu rapat dan menyokong Perkasa juga merupakan sabotaj kepada UMNO dan BN. Ini kerana Perkasa dilihat tidak begitu disenangi oleh pengundi bukan Melayu, malahan MCA dan MIC yang menjadi ahli komponen BN juga sudah beberapa kali "bertegang leher" dengan Perkasa dalam beberapa isu.
Tindakan Mahathir yang terlalu merapatkan diri dengan Perkasa boleh juga menyebabkan pengundi bukan Melayu langsung tidak teringin kepada BN. Ini tentunya menyebabkan ramai calon BN terhalang daripada mendaat kemenangan kerana kekurangan sokongan pengundi bukan Melayu. Mahathir dalam hal ini telah melakukan sabotaj kepada parti.
Dalam masa yang sama, tindakan Mahathir hadir dan berucap dalam suatu perhimpunan Perkasa di Pasir Mas baru-baru ini dan seolah-olah merestui agar Ibrahim Ali dipilih sebagai calon BN di kawasan itu juga boleh mencetuskan unsur sabotaj kepada UMNO dan BN. Jika Ibrahim dipilih sebagai juga sebagai calon yang dibenarkan menggunakan lambang BN walaupun beliau bukan ahli UMNO dan pernah menentang UMNO sebelum ini, ini tentunya menyebabkan pemimpin dan ahli UMNO Pasir Mas berasa kecewa dan tidak mahu mengundinya.
Jika mereka melakukan sabotaj, ia adalah tindakan yang wajar berdasarkan kesetiaan kepada parti selama ini. Tetapi dalam konteks pilihanraya dan perkiraan Najib, mereka mungkin akan dikenakan tindakan disiplin.
Tetapi bolehkah mereka dipersalahkan sepenuhnya?
Hakikatnya, sementara Najib berusaha keras mahu mempertahankan kuasa Perdana Menterinya dan Mahathir pula sibuk mahu mengekalkan kuasa BN, tindakan mereka juga kadangkala cenderung kepada tercetusnya perbuatan sabotaj dalam parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan