Ahad, 3 Mac 2013

Media maya dinasihatkan jangan siar komen negatif isu Lahad Datu

THE MALAYSIAN INSIDER
 Rakyat dinasihatkan supaya memilih sumber rasmi sahaja untuk mengikuti perkembangan kes tersebut. – Gambar Reuters KUALA LUMPUR – Media maya dinasihat supaya tidak sewenang-wenang memberi ruang kepada komen-komen tidak bertanggungjawab berhubung kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, bagi mengelak ia disalah tafsir.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Tan Sri Hassan berkata tindakan beberapa portal maya yang menyiarkan komen negatif yang menunjukkan kelemahan kerajaan, amat dikesali dalam suasana negara sedang menghadapi isu kritikal seperti itu.

“Di saat negara menghadapi kemelut melibatkan keselamatan seperti ini, semangat patriotik adalah lebih penting daripada membiarkan rakyat membuat tafsiran serta andaian negatif terhadap isu yang sedang berlaku di Lahad Datu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Taman Keramat di sini hari ini.

Fuad berkata demikian sebagai mengulas beberapa portal maya dan blog yang menyiarkan komen tidak bertanggungjawab antaranya menganggap kes di Lahad Datu sebagai satu sandiwara politik kerajaan.

Beliau juga turut menasihati rakyat supaya memilih sumber rasmi sahaja untuk mengikuti perkembangan kes tersebut dan mengelak dari memilih pelbagai sumber yang belum tentu kesahihannya, serta mengelak daripada membuat pelbagai andaian.

“Isu di Lahad Datu adalah isu keselamatan dan bukannya isu politik. Ia melibatkan persempadanan yang luas, perairan yang terbuka dan sejarah rumit yang tidak akan difahami oleh orang di luar Sabah.

“Ia perlu ditanggani dengan teliti dan berhati-hati agar tidak melibatkan pertumpahan darah. Sehubungan itu rakyat negara ini perlu memberi kepercayaan kepada pihak keselamatan menanggani isu tersebut dengan sebaiknya berbanding membuat kupasan yang mengikut anggapan sendiri berdasarkan sumber-sumber yang tidak sahih,” katanya. 

Fuad berkata rakyat perlu memberi kepercayaan kepada pasukan keselamatan dan membiarkan mereka melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan perkara itu dan mengembalikan keamanan di sana. – Bernama

Tiada ulasan: