Rabu, 27 Mac 2013

LUAHAN DARI SARAWAK



panji7hijau 



"Surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia."   

Kepada YAB Dato’ Seri Najib Tun Abd. Razak,
Perdana Menteri Malaysia.

YAB Dato’ Seri,

Di kala Dato’ Seri sedang sibuk memikirkan tentang tarikh pembubaran parlimen dan percaturan politik menjelang PRU-13, kami rakyat Sarawak khususnya generasi muda dikejutkan dengan kemunculan video pendedahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang melibatkan Ketua Menteri (KM) kami dan kroni-kroni beliau.

Kami bukan terkejut kerana baru mengetahui bahawa KM kami terpalit dengan salahguna kuasa, penyelewengan dan rasuah, kami telah menyedarinya sejak sekian lama sebagaimana seluruh dunia juga sedia memakluminya. Tetapi kami terkejut kerana tiada sebarang ungkapan keluar daripada mulut Dato’ Seri sebagai PM yang telah menggagaskan Transformasi. Bahkan pemimpin kerajaan lain khususnya Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga membisu seribu bahasa.

BUKANKAH apabila saja dilantik sebagai PM, Dato’ Seri telah menggagaskan agenda transformasi yang bermaksud ‘satu proses perubahan radikal yang membawa negara kepada halatuju baru dan menatijahkan perubahan yang menyeluruh.’’? Adakah menukar pemimpin yang rasuah dan menyalahguna kuasa tidak termasuk dalam agenda transformasi Dato’ Seri? Adakah video yang begitu jelas itu tidak cukup sebagai bukti untuk Dato’ Seri memberikan arahan kepada pihak SPRM yang telah diberi nafas baru (dinaiktaraf daripada BPR ke SPRM) untuk membuat siasatan?

BUKANKAH agenda memerangi rasuah adalah termasuk dalam 6 bidang utama NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) Dato’ Seri? Adakah memerangi rasuah bermaksud mencari ‘ikan bilis’ di kalangan penjawat awam dan rakyat biasa yang terlibat memberi, menerima atau bersuhabat dalam kes rasuah, manakala ‘ikan jerung’ di kalangan pemimpin politik tidak boleh disentuh?

BUKANKAH slogan Rakyat Didahulukan adalah tema gagasan transformasi Dato’ Seri? Tidakkah video pendedahan tersebut konkrit membuktikan bahawa tanah rakyat digadaikan dan duit rakyat dibawa keluar negara? Tahukah Dato’ Seri bahawa sebahagian besar rakyat Sarawak sama ada yang tinggal di bandar apatah lagi di luar bandar dan pedalaman hidup dalam kemiskinan dan kesusahan, walaupun Sarawak adalah di antara negeri terkaya di Malaysia? Adakah agenda trasformasi bermaksud rakyat terus dibiarkan dalam kejahilan, kemiskinan dan teraniaya manakala pemimpin atasan dibiarkan terus kaya dan mengaut sebanyak mungkin kekayaan negeri hasil daripada salahguna kuasa dan rasuah?

YAB Dato’ Seri,

Rakyat Sarawak telah memberi kepercayaan dan amanah kepada BN selama hampir 50 tahun, dan telah memberi peluang kepada Dato’ Seri sejak hampir 4 tahun lalu untuk melaksanakan transformasi yang tulen. Tetapi ma’afkan kami, kami sudah tidak percaya lagi dengan agenda transformasi yang Dato’ Seri perjuangkan bersama BN. Kami tidak menafikan kebaikan dan manfaat daripada sebahagian program transformasi tersebut kepada rakyat Sarawak, tetapi hakikat dan realitinya, Dato’ Seri sebagai PM dan BN secara keseluruhannya telah GAGAL dalam melaksanakan transformasi yang tulen dalam aspek yang paling asas sekali.

Justeru itu, kami dan anak-anak muda Sarawak akan membuat dan menggerakkan perubahan pada PRU-13 ini. Kami ingin memilih Pakatan Rakyat (PKR, PAS, DAP) kerana mereka juga berwibawa, telah berpengalaman memerintah bahkan mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara. Dato’ Seri tidak perlu risau, sekiranya PR gagal membela dan memperjuangkan nasib kami rakyat Sarawak, atau sekiranya BN dapat menawarkan calon dan gagasan yang lebih baik, kami pasti akan mengundi BN semula pada PRU-14. Bukankah kita negara demokrasi? Dan bukankah kami rakyat adalah majikan manakala Dato’ Seri dan YB-YB BN yang lain adalah ‘pekerja’ yang kami lantik? Justeru tentu tidak salah jika kami melantik ‘pekerja baru’ yang lebih bersih, amanah, adil, berwibawa dan kompeten bukan?

Sekian, salam perubahan.

Abang Muhsin b. Abang Matusin @ Rosli Dhobi, Pengurus.
Entap ak Dimbap @ Rentap, Ketua Strategi.
Josephine Tan Guat Cheng @ Aung San Suu Kyi, Ketua Penerangan.

GAMMA
(Gerakan Maya Anak Muda Sarawak)."

Tiada ulasan: