Selasa, 12 Mac 2013

Lagu politik: Kenapa nak kecam, soal YA1M

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

dave

Yassin
Yassin menunjukkan ugutan bunuh terhadapnya.
 
Baru-baru ini, beberapa penggiat seni dikecam ekoran menghasilkan lagu dan berlakon dalam sketsa berunsur politik.

Antaranya, Yassin Sulaiman yang mencipta dan menyanyikan lagu berjudul Reformasi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat keempat yang berlangsung pada 25 Februari lalu.

Gara-gara lagu tersebut yang dimuat naik ke laman YouTube, Yassin diugut bunuh.

Sementara itu, penyanyi dan komposer, Eddie Hamid yang menghasilkan lagu Bo La Wei ‘diserang’ sehingga dilarang kembali ke kampung halamannya, Kelantan.

Eddie mencipta lagu tersebut bersama Datuk Supardi itu dengan niat untuk menyedarkan anak-anak Kelantan berubah ke arah yang lebih baik.

Pelakon dan pelawak, Salih Yaacob turut dikecam ekoran lakonannya bersama beberapa pelakon lain seperti Nabil Ahmad dan Yasmin Hani dalam sketsa politik yang dimuat naik ke laman YouTube.

Menurut Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave, isu kecam penggiat seni kerana mencipta lagu politik tidak sepatutnya berlaku.

“Saya tak faham kenapa nak kecam? Itu kreativiti (mencipta lagu). Biarlah orang seni nak cipta apa saja. Apa guna ada ‘freedom of peace’ dan kebebasan mencipta?

“Jangan diganggu kreativiti itu. Saya faham artis sekarang semakin terbuka dan sudah matang tetapi janganlah terbawa-bawa hal peribadi,” katanya kepada Sinar Harian Online, ketika dihubungi, hari ini.

Meskipun begitu, beliau menasihatkan agar penggiat seni yang mula menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti agar tidak meluahkan pendapat secara sewenang-wenangnya.

“Nasihat saya, jaga-jaga sedikit. Ada perkara yang boleh runding, tak perlu luah sewenang-wenangnya,” katanya.

Katanya, YA1M turut bersedia memberi nasihat jika sebarang penggiat seni yang berdepan situasi seperti Yassin Sulaiman dan Eddie Hamid memerlukan khidmat tersebut.

“Sebagai Presiden, sudah tentu saya akan bagi nasihat. Ada yang berjumpa dengan saya secara peribadi berhubung isu politik dalam kalangan artis.

“Saya beritahu mereka jangan menumpang saja mendengar cerita sebelah pihak. Kita kena fikir panjang apabila mendengar fitnah atau khabar angin,” katanya.

Sambil itu, beliau juga mengingatkan penggiat seni agar tidak lupa siapa yang membantu mereka selama ini.

“Ini sangat penting. Jangan lupa siapa yang membela mereka... kerajaan juga,” katanya.

Tiada ulasan: