Isnin, 11 Mac 2013

Kad laporan prestasi BN diumum 19 Mac

NIZAM ZAIN

PRU13
PRU13
 
PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilantik sebagai perdana menteri empat tahun lalu, hari ini mengumumkan akan membentangkan kad laporan prestasi kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 19 Mac ini - bayangan terbaru Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu terdekat.

Katanya, kad laporan itu berdasarkan kepada beberapa program transformasi yang dilaksanakan sepajang empat tahun lalu.

"Berpayungkan falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan; Pencapaian Diutamakan, program dan sasaran ETP, GTP, PTP dan PTS ternyata telah memberi impak yang sangat positif kepada rakyat seluruhnya.

"...insya-ALLAH pada 19 Mac ini, saya akan membentangkan kad laporan kepada rakyat Malaysia," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Najib berkata, dengan kerjasama semua pihak terutamanya pentadbiran awam, swasta dan rakyat membolehkan kerajaan menangani kemerosotan ekonomi global dengan pertumbuhan ekonomi yang berkembang secara purata pada kadar lebih lima peratus pada 2010.

Dalam pada itu katanya, penjawat awam merupakan penyumbang terbesar kepada kejayaan penggubalan sebarang dasar oleh anggota pentadbiran.

"Mereka juga penyumbang terbesar dalam memastikan kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif yang dicetuskan.

"... pengorbanan serta profesionalisme mereka yang tidak mengenal lelah mahupun kepentingan peribadi, saya bagi pihak Jemaah Menteri, anggota pentadbiran yang lain serta rakyat Malaysia ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih," katanya.

Tiada ulasan: