Ramai mengharapkan dengan tindakan terakhir ini pencerobohan yang jelas menggugat kedaulatan negara itu dapat dihapuskan. Tindakan yang ditunggu-tunggu ini melegakan perasaan orang awam, khususnya di kawasan berhampiran pantai timur Sabah seperti Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Sandakan yang berhadapan beberapa kilometer sahaja dari kepulauan Tawi-tawi dan Sulu.
Gerombolan tersebut mula menceboroh negara ini di Kampung Tanduo dalam Felda Sahabat, Lahad Datu sejak 11 Februari, menggugat bukan sahaja keselamatan rakyat tempatan, tetapi lebih serius ceroboh kedaulatan negara ini.
Mulanya mereka tidak ramai tetapi bertambah kepada lebih 200 orang yang semuanya datang dari beberapa kepulauan Filipina berdekatan pantai itu.
Tidak pula diketahui apakah tambahan anggota itu hanya dari Simunul dan Jolo atau terdiri daripada orang Filipina yang sudah pun berada di kawasan timur Sabah.
Inilah yang menggelisahkan rakyat tempatan kerana ramai tidak mengetahui siapa mereka itu sebenarnya memandangkan ramai rakyat Filipina dari kawasan sama seperti Tawi-Tawi dan Sulu sudah pun menetap di Sabah, malah ada yang sudah pun mempunyai Kad Pengenalan Malaysia.
Jika tidak ditangani dengan baik ia mungkin akan lebih rumit dan berpanjangan yang mengingatkan kita kepada pertempuran bertahun-tahun antara puak pemisah Moro dengan tentera Filipina.
Bagaimanapun kenyataan beberapa pihak yang berasal dari daerah Filipina itu seperti orang Suluk dan Cocos yang membantah pencerobohan dan menyokong sebarang tindakan pasukan keselamatan untuk memulihkan keadaan amat melegakan dan dialu-alukan.
Namun timbul persoalan bagaimana ia boleh berlaku, bagaimana pihak berkuasa mulanya tidak memandang pencerobohan itu sebagai serius.Alih-alih jumlah mereka sudah lebih 200 orang walaupun kepungan telah dilakukan di sekeliling Kampung Tanduo. Mereka boleh pula menembak dengan roket. Dari mana mereka peroleh senjata itu?
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, mereka ini semuanya adalah pertempur veteran (combat veteran) selain mempunyai taktik serangan gerila yang baik, bukannya orang biasa yang tidak pernah mengangkat senjata.
Mulanya pihak polis berkata mereka ini masuk sebagai nelayan. Persoalannya kalau nelayan apakah pihak imigresen atau kastam tidak perlu memeriksa mereka? Boleh pula bawa roket dan pelancarnya?
Nampaknya perjalanan ulang-alik tanpa sebarang sekatan adalah perkara biasa di perairan di situ selama ini dan tentunya laluan itu begitu mudah dibolosi serta dimasuki sesiapa saja walaupun tidak mempunyai sijil perjalanan sah?
Hanya apabila berlaku pertempuran dan anggota polis terkorban barulah nampak ada sedikit kesungguhan untuk mengepung dan menghapuskan gerombolan mencemaskan itu.
Dikatakan kita mahu berunding supaya tidak berlaku pertumpahan darah. Memang niat kita baik tetapi kita tidak mempunyai maklumat betul mengenai gerombolan itu.
Dari awal lagi mereka ini dengan mendapat arahan daripada orang yang menggelar dirinya sebagai waris sebenar kesultanan itu tidak mahu berkompromi daripada desakan tidak masuk akalnya mahu ambil kawasan yang didakwa menjadi milik kesultanan itu.
Semua ini mungkin salah kita juga apabila mengiktiraf orang ini sebagai waris kesultanan - mula beri sagu hati kepadanya sejak zaman Tunku Abdul Rahman dahulu ketika Malaysia hendak ditubuhkan pada September 1963.
Sebenarnya sudah tiba masa kita membatalkan saja pemberian sagu hati itu yang seolah-olah memberi pengiktirafan bahawa beliau adalah waris sebenar Kesultanan Sulu walhal masih terdapat beberapa lagi waris kesultanan itu yang mendakwa mereka adalah waris sebenarnya.
Kita sepatutnya mengikut apa yang dilakukan kerajaan Filipina yang tidak langsung mengiktiraf kesultanan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan