ROKET KINI
Nampaknya 2013 adalah tahun durian runtuh. Inilah pertama kalinya dalam sejarah pemerintahan negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) berbelanja sakan menyajikan pelbagai insentif yang super duper. Bagi kita, berilah apa sahaja sekalipun, kecil telapak tangan, nyiru kami tadahkan.
Rasa beruntung benar jadi rakyat Malaysia di era Najib menjadi Perdana Menteri. Lepas beri BR1M, dapat tayar, kemudian baucer buku, ada BL1M, kedai rakyat, Klinik 1Malaysia dan macam-macam lagi.
Kalau dulu bila sampai musim pilihan raya, kerajaan BN cuma bina parit longkang, pecah tanah bikin jambatan dan turap jalan. Sekarang segalanya sudah berubah, seiring dengan timbunan hutang negara yang makin bertambah dan praktik rasuah yang semakin parah.
Bantuan itu sudah diberi, tapi macam rumah siap pahat berbunyi, apa pula jadinya dengan pelaksanaan dasar tranformasi politik, ekonomi dan transformasi undang-undang yang heboh dicanang?
Bila indeks rasuah makin meningkat, hutang negara makin bertambah, keselamatan rakyat makin tak terjaga, keganasan pihak berkuasa dilapor di media, isu tolong kroni makin menjadi, maka soalannya, adakah fungsi kerajaan itu sekadar bagi itu ini kepada rakyat tanpa peduli soal integriti, akauntabiliti dan ketelusan yang juga merupakan tanggungjawab mereka.
Betul. Soal siapa yang memerintah adalah soal kedua-ketiga. Malaysia akan bankrap tanpa akauntabiliti, ketelusan dan integriti. Dakwaan jika PR memerintah negara akan bankrap dan huru-hara sudah tentu tidak benar sama sekali.
Begini, bila wujud satu kerangka pentadbiran yang korup daripada pucuk sampai ke akar, negara dan rakyat akan terus menanggung risiko besar. Akhirnya, segala macam bantuan yang diberi hanya ibarat ubat tahan sakit. Sekejap sakit, sekejap hilang. Dan sampai bila pula kita kena makan ubat tahan sakit?
Daripada mengikut jejak langkah Arab Spring, elok diselesai segera masalah ini. Rasuah harus dihapus, ekonomi harus merakyat, undang-undang biar didaulat. Rakyat perlu bersatu menentang kebejatan yang dibudayakan BN selama ini iaitu gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Sudah tentu, cara paling mustajab untuk menyelamatkan Malaysia adalah dengan melakukan perubahan. Jangan khuatir, perubahan parti yang memerintah daripada BN kepada PR adalah manifestasi sebenar demokrasi berperlembagaan yang diamalkan di negara ini. Ini bukan sekadar dilema untuk kita lalui bersama, inilah satu-satunya harapan untuk bina Malaysia yang lebih gemilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan