SINAR HARIAN
JOHOR BAHARU - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan
pemberontak terbesar di Filipina, tidak terlibat dalam konfrontasi
antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di
timur Sabah.
Pengerusinya Al-Haj Murad Ebrahim berkata, masalah antara kumpulan
pengganas itu dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan
Semporna perlu diselesaikan Kuala Lumpur dan Manila.
"Masalah di sana ialah antara kerajaan Malaysia dan Filipina. Kami serah kepada mereka untuk menyelesaikannya.
"Orang kami tidak terlibat dengan pencerobohan itu. Kami tak mahu
terlibat dalam perkara ini, kami tak mahu menyulitkan lagi keadaan,"
katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif melalui telefon dari
kubunya di Kem Darapanan di Sultan Kudarat, Maguindanao, selatan
Filipina hari ini.
Setelah rundingan yang diadakan selama tiga minggu menemui kegagalan,
apabila pasukan keselamatan negara diserang hendap kumpulan pengganas
itu dalam dua insiden, Malaysia semalam mengambil tindakan ofensif
menggunakan jet pejuang
dan tentera yang menggunakan kereta perisai untuk menggempur Kampung
Tanduo, Lahad Datu, yang menjadi tempat persembunyian mereka.
Lapan anggota polis terkorban dalam dua insiden serang hendap itu - dua
di Lahad Datu dan enam di Semporna - manakala di pihak pengganas, 18
orang terbunuh.
Operasi sebelum Subuh (semalam) dikenali sebagai 'Op Daulat' itu
mencapai matlamatnya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan
Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Operasi membanteras pengganas melibatkan lebih 2,000 anggota polis dan tentera itu kini diteruskan.
Diminta memberi pandangan tentang tindakan kumpulan berkenaan
menceroboh timur Sabah, pengerusi MILF itu berkata beliau tidak boleh
memberi ulasan, sejajar dengan pendirian barisan itu yang tidak mahu
campur tangan dalam isu berkenaan.
Bagaimanapun beliau berharap kerajaan Malaysia dan pihak pengganas dapat menyelesaikan perkara itu secara aman.
Sememangnya Malaysia mahu menyelesaikan perkara itu secara aman sebelum
ini, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali
melanjutkan tempoh akhir kepada pengganas terbabit untuk meninggalkan
Kampung Tanduo dan pulang ke Filipina.
Bagaimanapun, usaha Najib untuk mengelak berlakunya pertumpahan darah
itu tidak dihiraukan kumpulan berkenaan dan mereka terus menduduki
Kampung Tanduo.
Mengenai laporan dari Filipina bahawa para pejuang Barisan Pembebasan
Kebangsaan Moro (MNLF) bersiap sedia untuk membantu dan menyertai
kumpulan pengganas itu, Al-Haj Murad berkata beliau tidak tahu menahu
tentang perkara itu kerana ia melibatkan kumpulan lain.
Ditanya sama ada perjajiian damai antara pihaknya dan kerajaan
Filipina, yang ditaja Malaysia, terjejas akibat pencerobohan di Sabah,
beliau berkata perkara itu tidak timbul.
"Proses damai antara MILF dan kerajaan Filipina ialah perkara
berasingan dan tidak akan tergendala kerana kejadian di Sabah itu.
Proses damai ini sedang diteruskan," katanya.
Beliau berkata anggota pasukan perunding MILF dan kerajaan Filipina
dijangka bertemu di Kuala Lumpur untuk mengadakan rundingan pusingan
akhir mereka pada minggu terakhir bulan ini.
MILF dan kerajaan Filipina menandatangani perjanjian rangka kerja bagi
menamatkan konflik yang berlarutan sejak sekian lama antara kedua-duanya
yang mengakibatkan beribu-ribu nyawa melayang dan menyebabkan wilayah
Mindanao yang kaya dengan sumber asli, tidak dapat dibangunkan.
Perjanjian rangka kerja antara MILF dan Manila itu ditaja Malaysia dan
ditandatangani di Istana Malacanang pada 15 Okt dengan disaksikan Najib
dan rakan sejawatan beliau Presiden Benigno Aquino III.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan