Oleh Aisha Geoffrey
PETALING JAYA : Pakatan Rakyat yakin komitmen dan kecekapan
pasukan keselamatan menjaga pertahanan negara dan berharap agar tiada
campur tangan politik bagi menyelesaikan isu pencerobohan di Sabah.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya, anggota
keselamatan boleh menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara
tanpa kekangan politik.
“Pasukan
keselamatan negara pastinya dapat menjalankan tugas dengan profesional
sekiranya diberi kebebasan bertindak tanpa sebarang campur tangan
politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Pakatan turut merakam takziah kepada keluarga lapan perwira negara yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna.
Seluruh rakyat juga diajak agar terus mendokong pasukan keselamatan sama ada polis mahupun tentera.
“Kita berdoa moga mereka kekal selamat dan bersemangat mempertahankan
negara dan rakyat Malaysia dari ancaman penceroboh,” kata Anwar
mewakili Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.
Hadir sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Anwar berkata, usaha memastikan kedaulatan negara serta keselamatan
rakyat Sabah dan pasukan keselamatan sepatutnya dipertahan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Setiap pimpinan mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab
mempertahan kedaulatan wilayah negara, keselamatan rakyat dan pasukan
keselamatan. Kegagalan berbuat demikian merupakan satu pengkhianatan
serta menodai amanah rakyat,” tegasnya.
Beliau turut menggesa isu pencerobohan bersenjata itu tidak dijadikan alasan untuk pemimpin negara saling tuduh-menuduh.
“Sewajarnya kepimpinan negara memberi tumpuan kepada isu keselamatan
negara serta tidak mengalihkan pandangan rakyat dari kelemahan mereka,”
katanya.
“Justeru, Pakatan mengingatkan pimpinan negara agar tidak alpa
memastikan keselamatan setiap rakyat, setiap inci tanah Sabah dan
keselamatan rakyatnya wajib dipertahankan,” kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan