Isnin, 18 Mac 2013

Gambar fitnah serangan peribadi & cubaan aibkan Anwar – Nik Aziz

KEADILAN DAILY 

KUALA LUMPUR : Penyebaran gambar fitnah lucah melibatkan individu mirip Anwar Ibrahim tindakan tidak wajar kerana cuba mengaibkan Ketua Umum KEADILAN itu tanpa bukti sahih, kata Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Nik Aziz

“Mereka belum puas ‘cincang’ Anwar. Kita orang politik ini sepatutnya kena lawan hujah bukan peribadi,” kata Menteri Besar Kelantan itu, dipetik Sinar Harian.

Fitnah terbaru itu disebar kira-kira seminggu selepas Azlan Md Lazim, bapa kepada Saiful Bukhari membuat pengakuan betapa kes Fitnah II hanya konspirasi politik untuk memenjarakan Anwar.

Bagaimanapun, individu dalam paparan gambar berkenaan kelihatan tegap dan terlalu muda tanpa kedutan berbanding susuk lelaki berusia 65 tahun seperti Anwar.

Ia mungkin cubaan blogger pro-Umno untuk membaiki kesilapan pada rakaman video yang direka trio Datuk T, diketuai ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay pada 2011 yang memapar individu berperut buncit.

Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Haniza Talha menyifatkan gambar itu sebagai taktik yang diketahui umum kerana kerap digunakan menjelang pilihan raya.

“Ia tidak relevan lagi. Biar mereka (individu tidak bertanggungjawab) buat selalu (perkara begini). Kelak rakyat sendiri akan jemu dan menolak mereka.

“Tindakan mereka itu ibarat sudah musnahkan masa depan politik sendiri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan itu, dipetik.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim pula berkata, beliau sudah menjangka serangan terhadap Anwar itu akan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ini kerana, beliau (Anwar) yang Pakatan tonjolkan sebagai Ketua Umum dan bakal Perdana Menteri jika Pakatan berjaya membentuk kerajaan dalam PRU akan datang.

“Sejak 15 tahun lalu, beliau jadi sasaran utama parti politik, penulis blog dan NGO yang tidak memihak kepada Pakatan untuk menyerang beliau. Antaranya isu Fitnah I dan Fitnah II, kemudian dikait dengan video seks bersama seorang wanita,” katanya dipetik.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata, polis sewajarnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat ke muka pengadilan dan bukan bersikap dwi standard.

“Tindakan undang-undang adalah langkah terbaik ke atas semua mereka yang terlibat dalam penyebaran gambar-gambar lucah tersebut,” katanya dalam kenyataan. – NS

Tiada ulasan: