Isnin, 18 Mac 2013

Dua saksi "Lahad Datu" di pentas forum malam ni

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Dua orang saksi hidup berhubung peristiwa berdarah di Lahad Datu akan tampil menceritakan pengalaman mereka di Forum Mahkamah Rakyat: Kisah dari Lahad Datu, Siapa Pengkhianat Sebenar? di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam ini.

Dua saksi tersebut, Siti Aminah dan Mat Swadi akan sepentas dengan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Yahya Lampong dan bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Lt. Jen. (B) Dato' Ghafir Abd Hamid.

Program anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama Angkatan Perubahan Sabah itu akan turut menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Tian Chua, bekas Timbalan Menteri Kabinet, Datuk Kalakau Untol, bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, pengerusi SAMM, Che'GuBard dan wakil SAMM Sabah, Boby.

"Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil sikap mengalihkan rakyat dari gear bertahan kepada gear menyerang. Isu Lahad Datu harus diperjelaskan dengan berani.

"Untuk itu ruang perdebatan harus dibuka, malangnya isu sepenting ini yang harus di bawa ke parlimen untuk dibahaskan bagi bukan sekadar mencari punca tetapi memperbaiki kesilapan yang mengundang tragedi.

"Rakyat perlu dipersajikan dengan ulasan serta maklumat yang lebih membuka minda dan ke arah memperkasakan negara, namun malangnya regim (parti penguasa) cekap menyusun dan memanipulasi ruang sehingga menghimpit lawan politik," kata Pengarah Propaganda SAMM,Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan.

Sebarang pertanyaan mengenai program ini boleh diajukan kepada pihak penganjur sila hubungi penganjur di talian 010-2675872.

Di program malam ini juga, SAMM akan melancarkan risalah khas penerangan kes Lahad Datu dan kenderaan pacuan 4 roda SAMM khusus untuk “smoke operation”.

Justeru orang ramai dijemput hadir ke program yang akan bermula jam 8.45 malam ini.

Tiada ulasan: