Sabtu, 9 Mac 2013

Dua laporan polis dibuat berhubung kenyataan hina Sultan Johor

THE MALAYSIAN INSIDER
 
JOHOR BAHARU— Dua laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan hari ini berhubung kenyataan menghina Sultan Johor oleh individu tidak bertanggungjawab dalam laman sosial Facebook.

Laporan itu dibuat Ketua Kampung Kempas, Salim Daud yang mewakili Persatuan Ketua-ketua Kampung Negeri Johor dan Ketua Kampung Senibong Yacob Sahadan.

Penghinaan itu didakwa dilakukan individu yang tidak dinamakan itu semalam selepas  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah meminta seluruh masjid di negeri ini mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat dan selepas solat Maghrib secara berterusan bagi mendoakan keselamatan anggota keselamatan yang bertugas di Lahad Datu, Sabah.

Laporan polis yang dibuat pukul 3.19 petang ini meminta pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap individu itu.

“Saya membuat laporan polis agar satu siasatan dan tindakan tegas dikenakan kepada individu tersebut supaya menjadi pengajaran kepada mana-mana individu dari pelbagai bangsa agar tidak mengikut membuat seperti ini,” kata Salim kepada pemberita selepas membuat laporan itu.

Yacob pula berkata beliau  membuat laporan polis itu kerana berasa amat  amat tidak berpuas hati dengan tindakan individu tersebut yang mempersendakan Sultan Johor.

Gambar ‘print screen’ lelaki dari Melor, Kelantan yang dikatakan menghina Sultan Johor itu didapati diedarkan di Facebook malam semalam sebelum akaun Facebook itu dipadamkan.

Bagaimanapun, pencarian di laman sosial membawa kepada satu lagi akaun Facebook di mana lelaki itu pada kira-kira pukul 7 pagi hari ini mendakwa di dalam status laman sosial itu bahawa akaunnya telah digodam pihak tertentu.

Dalam status itu, lelaki itu mengakui pernah mengkritik keluarga diraja itu dan percaya ianya menjadi punca akaunnya digodam. — Bernama

Tiada ulasan: