Ahad, 17 Mac 2013

Pelajar INPENS Dapat Kerjaya Antarabangsa


mahasiswa konvokesyen INPENS lelaki anak muda 01

SHAH ALAM  : Latihan yang dipelajari di Inpens International College bukan sahaja memberikan kemahiran bagi pelajarnya memulakan perniagaan sendiri, malah membolehkan mereka meraih peluang pekerjaan di peringkat antarabangsa.

Nor Suriyani Musa 21, yang berasal daripada Melaka berbangga apabila kebolehannya membuka mata sebuah pengusaha butik di Brunei untuk mengambilnya bekerja di sana.
mahasiswa konvokesyen INPENS nor suriyani 01
 “Tawaran diterima pada bulan Februari lalu untuk menjadi pereka fesyen di butik tersebut dan saya sudah menyatakan persetujuan dengan tawaran itu.

“Bagi saya ini peluang untuk menimba pengalaman baru sebelum saya menyambung kembali pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi di masa akan datang,” tegas anak kelima daripada enam beradik ini.

Nor Suriyani merupakan penerima Anugerah Khas Datuk Menteri Besar di Majlis Konvokesyen Inpens International College kali ke 17 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pagi tadi.

Beliau sebelum ini pernah memenangi tempat pertama dalam Kategori Teknologi Fesyen dan membolot pingat emas dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia ke 21 pada pertengahan tahun lalu.

mahasiswa konvokesyen INPENS thinesha 01

Lebih manis lagi apabila beliau yang menerima latihan selama setahun dalam kursus Pembuat Pakaian Wanita Kanan di Inpens, turut dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan dan membolot Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, S. Thinesha 21, membuktikan bahawa sakit barah yang dialaminya sejak dua tahun lalu bukanlah penghalang untuk beliau berjaya dalam pelajaran dan bidang yang diminati.

“Bagi saya, paling penting untuk berjaya adalah fokus dalam bidang yang kita minat supaya kita dapat melakukan yang terbaik.

“Biar apapun cabaran yang datang, seandainya kita komited dan kekal fokus, kejayaan pasti akan jadi milik kita,” ujar penerima Anugerah Semangat dan Jati Diri ini.

mahasiswa konvokesyen anak muda long shot 01

Menjadikan keluarga, sahabat handai dan guru-guru sebagai pembakar semangat, beliau yang tinggal di Banting kini dalam proses membuka salonnya sendiri.

“Jika tiada aral melintang, dalam masa dua bulan lagi saya dapat mulakan perniagaan saya sendiri dan ini pasti membakar semangat saya untuk terus berusaha lebih gigih,” tambah penerima sijil kemahiran kursus Pendandan Rambut ini.

Terdahulu, seramai 411 graduan Inpens daripada sembilan kursus latihan dan kemahiran menerima sijil mereka dalam konvokesyen itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau diiringi Presiden Inpens International College, Datuk Md Mydin Md Sheriff ketika upacara penyampaian sijil.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali dan Dr. Xavier Jayakumar.

Tiada ulasan: