Selasa, 26 Mac 2013

DAP kecam Teng Chang Yeow bersekongkol dengan Perkasa

Roketkini.com

 

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menunjukkan belangnya yang sebenar dan mendedahkan hubungan rahsia antara BN dengan kumpulan ultra-Melayu Perkasa.

Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu sidang media hari ini mengulas mengenai kehadiran Teng Chang Yeow dalam satu perhimpunan di Padang Kota Lama yang dianjurkan oleh Perkasa.

“Hubungan sulit ini sudah bukan rahsia, rahsia sudah terbongkar. Mengaku sahajalah,” ujar Guan Eng terhadap penafian Teng yang kononnya tidak tahu menahu mengenai siapa yang menganjurkan perhimpunan menyokong Barisan Nasional semalam.

“Ini memperlihatkan Teng sebenarnya menyokong politik kebencian, keganasan yang dilakukan sebuah organisasi perkauman dan ekstrim seperti Perkasa,” katanya lagi.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP juga berkata Barisan Nasional mesti mengakui hubungan intimnya dengan kumpulan pelampau kaum tersebut dan membiarkan rakyat Pulau Pinang menilai sendiri betapa eratnya kerjasama Perkasa dan BN.

Menurut beliau lagi, ini membuktikan demonstrasi sepanjang lima tahun Pakatan Rakyat mentadbir Pulau Pinang dianjurkan oleh Perkasa yang menyokong BN.

“Gerakan sama dengan Perkasa, dan Perkasa sama dengan Gerakan,” ujar beliau sambil memberitahu bahawa Teng tidak perlu lagi bersembunyi di sebalik penafian kononnya beliau tidak ada kena mengena dengan kumpulan pelampau terbabit.

Teng adalah antara pemimpin BN yang dilihat hadir di Himpunan Rakyat Bersatu Pulau Pinang di Padang Kota Lama, yang dianjurkan oleh kononnya 120 NGO termasuk PERKASA. Kumpulan ultra Melayu itu sekian lama mendakwa mereka tidak menerima kepimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang kerana diketuai DAP yang dilihat sebagai sebuah parti Cina. – Roketkini.com

Tiada ulasan: