Rabu, 6 Mac 2013

Dalam Melaporkan Kebenaran Utusan Terus Memfitnah?

Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/Gambar-Tentera-di-Lahad-Datu.jpgDalam keadaan berita benar dilaporkan mengenai perkembangan terkini operasi ketenteraan dijalankan terhadap pencerobohan pengganas warga asing di Lahad Datu, media utama negara Utusan Malaysia dan TV3 masih menjalankan propaganda dan fitnah mereka terhadap Pakatan Rakyat.

Nampaknya Utusan yang mencatat kerugian sebnayk RM15 juta masih tidak serik turun naik mahkamah dan kalah serta sering membayar saman malu ekoran kalah di mahkamah.

Sebagai respons marah, DS Anwar Ibrahim telah mendesak Utusan Malaysia dan TV3 memohon maaf atau berdepan dengan saman RM 200 juta jika media tersebut gagal membuat permohonan maaf berhubung laporan mengaitkan beliau dalam isu di Lahad Datu.

Tempoh 24 jam diberikan agar mereka menginsafi fitnah yang dilemparkan atau bersedia sekali lagi ke mahkamah. Itulah nada tegas pemimpin PR supaya media ini tahu bahawa etika kewartawanan atau pemberitaan mereka telah terlalu jauh menyimpang dari kebenaran.

Pelik juga bagaimana Utusan dan TV3 membuat kesimpulan mudah dengan cuba membabitkan pemimpin PR sedangkan insiden ini sedang berlaku dan operasi masih diteruskan tanpa apa-apa kenyataan rasmi dari pasukan keselamatan negara. Agak kesal juga bagaimana rakyat cuba diperbodohkan dengan pemberitaan yang berat sebelah dan tersasar dari fakta yang tepat dan benar.

Insiden pencerobohan ini adalah suatu perkara yang serius, besar dan amat menggemparkan. Tidak wajar mana-mana pihak memanipulasikan isu ini menjadi sensasi demi meraih populariti apatah lagi untuk dipolitikkan. Ia pula melibatkan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara. Tragedi yang telah mengorbankan nyawa pasukan keselamatan seharusnya ditangisi oleh seluruh rakyat, bukan menuding jari dengan pelbagai spekulasi liar.

Sebaiknya media mencari punca sebenar bagaimana pencerobohan ini berlaku di perairan negara tanpa dikesan oleh pihak keselamatan negara. Cara kerajaan menangani isu ini selama berminggu-minggu juga menimbulkan persoalan yang perlu dirungkaikan. Ia jauh lebih bermanfaat daripada meniup fitnah dengan tuduhan yang tidak berasas.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: