TANJONG KARANG : Buku ‘Panduan Membuat Dan Mengguna Produk SRI Organik’ dapat membantu para petani dan pesawah melaksanakan kaedah pertanian Natural Farming yang mesra alam dan menguntungkan.
Teknik Natural Farming yang sedang diperluaskan oleh Kerajaan Negeri kepada petani sudah terbukti dapat menambah pendapatan petani sebanyak RM 2,000.
Ini dicapai melalui mengantikan penggunaan baja dan racun kimia dengan alternatif yang diperbuat daripada bahan semula jadi yang mudah dibeli atau dijumpai di persekitaran rumah.
Malah teknik-teknik tersebut kata penulisnya, Noorazimah Taharim, merupakan kaedah yang telah digunakan dengan jayanya di negara Korea Selatan, Jepun dan China selama 50 tahun.
“Buku panduan ini adalah supaya petani-petani dapat menggunakan ‘resepi’ untuk membuat baja Natural Farming dan pencegah perosak tanaman,” kata Noorazimah yang menulis buku itu bersama Salehuddin Yahya.
“Buku ini dapat dipraktikkkan apabila para petani mahu menggunakan kaedah alternatif yang tidak menggunakan bahan kimia.
“Dengan pengetahuan ini maka pembaca mempunyai pengetahuan untuk membuat produk Natural Farming ini sendiri ataupun dia akan membeli kepada yang menyediakan produk SRI seperti ini,” katanya.
Buku panduan 88 muka surat itu memberikan penjelasan untuk membuat ramuan Sri Organik daripada sumber alam sekitar dan cara-cara membuat dan mengguna pencegah perosak.
Buku ini juga menjelaskan cara-cara membuat campuran baja dan pencegah perosak padi serta penerangan berkenaan penggunaan produk Sri Organik.
Ujarnya buku ini diterbitkan menggunakan Geran Selangorku dengan cetakan sebanyak 5,000 naskah.
Noorazimah berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemberian Insentif Pesawah Daerah Kuala Selangor oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga berkesempatan melancarkan buku panduan tersebut.
Ujarnya, buku panduan tersebut boleh didapati daripada pihak Jabatan Pertanian.
Untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh hubungi Salahuddin Yahya (Pak Tam) – 019 3322 947 atau Noorazimah Taharim (Mak Tam) -019 3801 815.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan